Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 FEBRUARI 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan sedang melengkapkan semua fakta berkaitan program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik yang diadakan bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu lalu.

Menurut satu tangkap layar yang diperoleh MalaysiaGazette mendapati Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menegaskan, setiap maklumat yang dikumpul akan dianalisis secara teliti sebelum dibentangkan dalam biro politik parti untuk pertimbangan selanjutnya.

“Ibu pejabat sedang melengkapkan semua fakta dan bukti mengenai perjalanan program di PAUM yang dianjurkan oleh segelintir pihak untuk menyokong individu tertentu yang mengisytiharkan presiden sebagai ‘musuh nombor satu’.

“Semua maklumat ini akan dibentangkan dalam Biro Politik untuk pertimbangan selanjutnya,” kata Azmin menurut tangkap layar yang diperoleh MalaysiaGazette.

Kenyataan itu dikeluarkan Mohamed Azmin dalam kumpulan aplikasi WhatsApp Bersatu Pusat MPT 2024-2027 semalam.

Sabtu lalu, seramai 19 ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM).

Wakil rakyat berkenaan terdiri daripada mereka yang masih aktif serta yang telah dipecat daripada parti.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam ucapannya pada taklimat itu berkata, selain ahli Parlimen, program berkenaan turut dihadiri oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua bahagian parti.

Ahli Parlimen yang hadir termasuk: Kangar (Zikri Hassan), Kubang Pasu (Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail), Kulim Bandar Baharu (Roslan Hashim), Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor), Tanah Merah (Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz) dan Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal).

Selain itu, turut hadir adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid), Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Gerik (Fathul Huzir Ayob), Padang Rengas (Azahari Hassan), Lumut (Nordin Ahmad Ismail), Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah), Rompin (Datuk Abdul Khalib Abdullah), Sabak Bernam (Kalam Salan), Sungai Besar (Datuk Muslimin Yahaya), Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) dan Mersing (Islahuddin Abas).

Ia termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast