KUALA LUMPUR — Aktivis sosial, Firdaus Wong mendakwa wujud usaha daripada organisasi media untuk blackout (tidak membuat liputan) terhadap sebarang aktiviti dan penyebaran maklumat daripada Gabungan Rakyat Pertahan Hak (GARAH)
Beliau berkata hanya segelintir platform serta perkongsian orang ramai yang menyiarkan perkembangan berkaitan, berbanding media lain yang menurutnya memberi tumpuan kepada pihak bertentangan.
“Kalau sahabat perasan, sidang media atau kenyataan media Garah tidak mendapat liputan dari kebanyakan media. Namun, media-media lain sangat aktif memberikan liputan kepada pihak penceroboh & pro-penceroboh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan terdapat arahan tidak rasmi supaya liputan mengenai gabungan itu tidak diterbitkan walaupun jemputan sidang media dan kenyataan telah dihantar kepada organisasi media.
“Dijemput datang sidang media, tidak hadir. Kenyataan media dihantar namun tidak diterbitkan namun naratif ‘play victim’ penceroboh & pihak pro penceroboh dijulang dan dimainkan setiap hari!” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada media yang didakwa terlibat serta menegaskan bahawa GARAH merupakan gabungan lebih 140 pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara dan tidak wajar dikaitkan dengan agenda politik sempit.
“Hanya yang taasub politik akan kaitkan dengan politik dan hanya yang kurang rasional akan terima naratif ‘play victim’ penceroboh,” katanya lagi.
Sementara itu, minggu lalu Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus memaklumkan seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan GARAH yang cuba dianjurkan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo.
Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlangsung walaupun penganjuran tidak dibenarkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam, melibatkan 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun.
Dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala 17 yang lain ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan. — MalaysiaGazette
















