KUALA LUMPUR — Isu melibatkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disifatkan sebagai kegagalan sistemik Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Menurut beliau, isu tersebut bukan sekadar berkaitan individu semata-mata, sebaliknya mencerminkan kelemahan kepimpinan tertinggi kerajaan perpaduan yang didakwa gagal menangani persepsi awam terhadap institusi penguatkuasaan.
“Masalah kita di Malaysia adalah kita hendak jaga hati. Kita di Malaysia tidak mahu terus-terang. Kita tidak mahu belajar dari sejarah.
“Isu kleptokrasi dulu. Macam-macam agensi bantu sapu bawah karpet. Bila ada yang kritik Najib Razak segala bentuk tekanan diberikan. Dari PDRM ke Peguam Negara dari LHDN ke SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, situasi semasa perlu dilihat dalam konteks sejarah skandal kewangan negara yang pernah mencetuskan perubahan politik besar.
“Yang dalam Kerajaan pula kata 1MDB isu politik. Hanya mahu jatuhkan Kerajaan. Semua itu rancangan Mahathir. Akhirnya, rakyat buat pilihan. BN yang gergasi rebah kerana gelombang rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Rafique mendakwa keadaan hari ini tidak jauh berbeza apabila kedudukan individu tertentu dipertahankan walaupun kritikan terus memuncak berhubung kontroversi membabitkan Azam.
Beliau turut merujuk laporan antarabangsa yang menyentuh reputasi institusi negara sambil mendakwa ia memberi kesan terhadap persepsi awam.
“DOJ label 1MDB skandal terbesar abad ini. Kali ini Bloomberg pula label SPRM ada kaitan dengan corporate mafia. Agensi yang gertak dan ugut untuk ambil alih syarikat-syarikat,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mekanisme pelantikan jawatan tertinggi serta perjalanan kes berprofil tinggi dengan menyifatkan situasi itu menimbulkan persepsi berat sebelah dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau secara terbuka mendesak perubahan kepimpinan negara sambil mengaitkan proses pelantikan jawatan dengan tanggungjawab politik semasa.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik, ditamatkan, dilanjutkan ke jawatan itu atas nasihat Perdana Menteri. Itu undang-undang dan fakta. Siapa Perdana Menteri sekarang? PMX Anwar. … Contoh paling mudah, 47 kes TPM.
“Dari PM7 ke PM9 kes Zahid Hamidi terus berjalan. Sampai giliran PM10, DNAA lepas itu NFA lepas ini lepas?” soalnya.
Beliau menegaskan, isu membabitkan Azam bukan lagi soal persepsi semata-mata sebaliknya mencabar keyakinan rakyat terhadap integriti institusi negara.
Semalam, Azam Baki menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa khas berhubung dakwaan pemilikan saham melibatkan dirinya.
Beliau berkata, pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada jawatankuasa tersebut untuk melaksanakan siasatan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perkara yang disembunyikan kerana pegangan saham itu telah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama. – MalaysiaGazette
















