Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.
Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan dibuat sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, ia melalui proses yang menepati perlembagaan, peraturan dan disiplin parti demi mengekalkan kesatuan serta keberkesanan struktur organisasi khususnya dalam memastikan perjuangan rakyat terus menjadi keutamaan di bawah panji Perikatan Nasional (PN), kata Exco Armada Bersatu Malaysia, Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin.

Menurutnya, tindakan disiplin yang diambil merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh organisasi dan memastikan setiap ahli parti kekal selari dengan ketetapan serta hala tuju kepimpinan.

“Sebagai parti yang menekankan budaya kepimpinan berprinsip dan berpasukan, tindakan ini adalah langkah perlu bagi mengukuhkan kesatuan dalaman serta memelihara disiplin parti,” katanya merangkap Ketua Armada Bersatu Bahagian Pagoh menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kekecohan yang berlaku wajar dijadikan pengajaran bahawa ketertiban dalaman dan kesetiaan terhadap struktur parti merupakan asas penting dalam menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dijangka menjelang tidak lama lagi.

“Justeru, semua ahli di pelbagai peringkat perlu memberi tumpuan penuh terhadap kesiapsiagaan jentera masing-masing.

“Akar umbi di Johor khususnya diharap kekal tenang, bersatu dan terus fokus kepada rakyat, di samping memperkukuh parti dari peringkat cawangan hingga ke negeri,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar seluruh ahli memberi ruang dan keyakinan kepada MPT yang diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyusun semula serta memperkemaskan parti bagi menghadapi landskap politik semasa.

“Yakinlah, di sebalik segala cabaran hari ini, masa depan Bersatu lebih cerah dan parti akan terus teguh memimpin perjuangan rakyat serta Perikatan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast