munafik politik tindak balas Paludan Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Wilayah Persekutuan Parti Pejuang Tanah Air(Pejuang), Khairuddin Abu Hassan berharap kem bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertimbangkan untuk menyertai Pas  sebagai wadah perjuangan baharu orang Melayu.

Beliau berkata, harapan itu ditujukan khusus kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini dipecat parti bersama 19 ahli Parlimen yang dilaporkan menyatakan sokongan kepadanya, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hala tuju politik kumpulan berkenaan.

Menurut Khairuddin, Pas dilihat belum pernah diuji menerajui kepimpinan negara selain memiliki barisan pemimpin berpendidikan tinggi serta berfikiran sederhana.

“Saya akan terus berdoa agar Datuk Seri Hamzah serta bekas-bekas pemimpin parti Bersatu selaku aset-aset terbaik untuk membuat pertimbangan ke arah menganggotai Pas,” katanya.

Beliau menambah, penyertaan itu berpotensi memperkukuh agenda Melayu dan Islam dalam landskap politik semasa.

“Pada hari ini, Pas harus dijadikan platform baru wadah perjuangan bagi memperkasakan kedudukan Melayu dan syiar Islam di samping mengujudkan masa depan yang lebih harmonis dengan keseluruhan kaum-kaum asing di negara kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hamzah memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ dalam perjalanan politiknya susulan pemecatan daripada Bersatu bersama kelompok Ahli Parlimen yang sehaluan dengannya.

Khairuddin yang menyertai Pas pada Januari lalu turut berharap kesemua 19 ahli Parlimen terbabit mengambil langkah sama, dengan menyifatkan mereka sebagai aset berpengalaman yang boleh menyumbang kepada parti itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pas mempunyai kepimpinan berwibawa yang mampu menarik sokongan masyarakat pelbagai lapisan.

“Parti Pas kini mempunyai ramai tokoh-tokoh pemimpin yang berpelajaran tinggi serta mempunyai minda moderat dan nilai-nilai kesederhanaan yang boleh diterima oleh semua lapisan orang-orang Melayu dan juga kaum-kaum lain di negara kita,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan negatif terhadap parti berkenaan serta menyifatkan generasi muda semakin terbuka untuk menyertainya.

“Persepsi ‘ekstrim agama’ sudah tidak wujud lagi dalam parti Pas sebab itu kini ramai anak-anak muda yang terpelajar dari dalam mahupun luar negara berduyun-duyun menganggotai parti Pas,” katanya.

Khairuddin berkata, pengalaman sebagai bekas pemimpin akar umbi UMNO menjadikan beliau lebih selesa dengan pendekatan Pas.

“Saya sendiri adalah bekas pemimpin akar umbi UMNO dan dilahirkan dalam keluarga pengasas parti UMNO kini merasai amat selesa dengan wadah perjuangan parti Pas yang begitu balance antara perjuangan duniawi serta akhirat,” katanya lagi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast