JOHOR BAHRU – Pas Johor mendakwa gangguan bekalan air yang sedang melanda Johor ketika ini mencetuskan krisis yang semakin membimbangkan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, langkah catuan air di beberapa kawasan masih belum mampu menyelesaikan masalah dan penduduk terus berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
“Walaupun langkah catuan air telah dilaksanakan bagi memastikan paras simpanan di empangan dapat dikawal namun pendekatan tersebut masih belum mampu menyelesaikan permasalahan secara menyeluruh.
“Pas Johor memandang berat laporan media yang menyatakan terdapat penduduk di kawasan Machap terpaksa menggunakan air sungai untuk membasuh pakaian dan mandi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja mencerminkan tekanan hidup yang sedang dialami rakyat malah memberi implikasi terhadap aspek kesihatan dan keselamatan.
Kebimbangan rakyat, katanya, semakin bertambah apabila Ramadan semakin hampir kerana air merupakan keperluan asas dalam urusan ibadah, penyediaan makanan dan kebersihan diri.
Justeru katanya, krisis tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani dengan lebih komprehensif serta berkesan.
Mahfodz berkata, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Negeri Johor yang bersidang semalam mengambil maklum secara serius terhadap isu gangguan bekalan air yang sedang melanda Johor sehingga mencetuskan krisis yang semakin membimbangkan.
Sehubungan itu Pas Johor membentuk satu jawatankuasa bertindak khas bagi memantau perkembangan situasi, menyelaras bantuan kepada rakyat terjejas dan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada pihak berwajib.
Pas Johor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha membantu rakyat dalam situasi genting ini, khususnya kerajaan negeri dan operator air negeri, Ranhill SAJ.
“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang menghulurkan bantuan dua buah lori tangki air dan empat kakitangan kepada Johor susulan krisis gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini,” ujarnya.
Bantuan tersebut katanya, dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara operator air yang diselaraskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak 2022 bertujuan memberi bantuan segera kepada operator air negeri yang berhadapan krisis air.
Dalam masa yang sama, Pas Johor menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan serta operator air memperkukuh pelan mitigasi jangka pendek dan jangka panjang supaya krisis seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
Pada Isnin lalu, media melaporkan krisis bekalan air semakin meruncing apabila Sungai Benut mencapai paras minimum, manakala Empangan Machap di bawah paras operasi selamat menyebabkan Loji LRA Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, situasi disebabkan musim kemarau berpanjangan namun kerajaan negeri sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata, ketika ini, kerajaan melaksanakan pengukuhan operasi LRA Yong Peng yang mampu menyalurkan tambahan empat juta liter sehari bagi membantu menstabilkan bekalan air.- MalaysiaGazette















