KUALA LUMPUR – Kebimbangan terhadap peningkatan kes gangguan seksual dan buli melampau dalam kalangan pelajar mendorong barisan peguam dari Tetuan Aimee & Zaim Arif turun padang melancarkan Kempen Anti Gangguan Seksual dan Anti Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 9(2) baru-baru ini.
Kempen tersebut bertujuan memberi kesedaran menyeluruh kepada pelajar mengenai bahaya buli fizikal, emosi dan siber selain memperjelaskan definisi gangguan seksual serta implikasi undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pelaku.
Menurut wakil Tetuan Aimee & Zaim Arif, isu gangguan seksual dan buli tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah terpencil sebaliknya memerlukan pendekatan pendidikan dan pencegahan yang lebih serius.

“Kes-kes melampau yang berlaku hari ini menunjukkan perlunya tindakan proaktif. Pelajar perlu tahu hak mereka dilindungi undang-undang dan mereka tidak perlu berdiam diri jika menjadi mangsa,” katanya selepas program berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata, pendedahan awal di peringkat sekolah amat penting bagi membentuk budaya saling menghormati serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Inisiatif sama sebelum ini turut dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Enstek sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) firma guaman tersebut dalam mendekati komuniti pendidikan.

Dalam majlis sama, barisan peguam berkenaan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Pusat Sumber SMK Putrajaya 9(2) bagi pembelian mesin cetak serta bahan bacaan tambahan khususnya untuk membantu pelajar asnaf.
Pengetua SMK Putrajaya 9(2) juga merakamkan penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan dan menyifatkan program tersebut sebagai langkah proaktif dalam menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.
Pihak sekolah berharap kempen seumpama itu dapat diteruskan secara berkala dengan penglibatan lebih banyak pihak profesional demi memastikan kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















