KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berani bertindak dengan memecat keahlian bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan lain-lain pimpinannya kerana melanggar etika dan disiplin parti.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, Lembaga Disiplin PKR perlu mencontohi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani memecat timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana melanggar etika parti itu.
“Kalau Muhyiddin berani pecat Hamzah dan yang lain-lain kerana atas kesalahan melanggar etika parti, nak tanya PKR tak berani ke bertindak seperti Bersatu yang selamba sahaja memecat ahli-ahlinya yang melanggar etika dan disiplin parti.
“Saya nak tengok sangat keberanian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR bertindak ke atas Rafizi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa bekas menteri dan ahli Parlimen PKR termasuk Razifi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Rodziah Ismail menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, semalam.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi yang berucap pada perhimpunan aman itu dengan lantang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipecat kerana isu pemilihan saham.
Gulam juga berkata, PKR hanya gemar bercakap tentang ahli-ahli yang merengek serta mempertikaikan keputusan dan dasar parti di Konvensyen PKR Negeri-Negeri sambil menyifatkannya sebagai kosmetik politik.
“PKR hanya tahu bersikap No Action Talk Only (NATO). Dunia politik PKR kini ibarat senjata pembunuh makan tuan, anjing ganas upahan membaham pemiliknya sendiri dan khadam utama meracuni tuannya sendiri.
“Itu namanya kifarah yang Allah tunjukkan kepada mereka yang tidak pernah ikhlas, jujur dan hipokrit dalam perjuangan mereka,” katanya.
Selain itu, Gulam juga mempertikaikan tindakan Rafizi melaungkan slogan Selamatkan Malaysia sedangkan naratif itu sudah lapuk dan sentiasa digunakan Ahli Parlimen Pandan itu sejak menyertai PKR.
“Dahulu masa jadi khadam utama kepada bosnya PMX, naratif selamatkan Malaysia dijaja merata pelosok di dalam Kempen Ayuh Malaysia, kini bos dia sudah menjadi PM, nak selamatkan Malaysia apa lagi?
“Nak tanya adakah PMX tak selamat atau Malaysia yang tidak selamat? Sepatutnya kena tukar naratif iaitu selamatkan PKR, bukan Malaysia. Tak fahamlah dengan YB Rafizi ini.
“Sepatutnya demo semalam naratifnya selamatkan PKR agar apa yang diperjuangkan dalam gerakan reformasi boleh diangkat semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















mana berani sebab dia pun kaki sakau juga sama macam orang lain. malu patti woo