KOTA TINGGI – Kegembiraan tiga rakan sempena cuti sekolah yang mandi di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil di sini hari ini bertukar tragedi apabila seorang daripadanya dikhuatiri lemas.
Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hashim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.17 petang tadi.
Menurutnya, kejadian ini melibatkan tiga mangsa iaitu, Arman Hanif berusia 11 tahun, Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar berusia 16 tahun dan Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul berusia 11 tahun.
“Arman Hanif terselamat manakala Mohamad Soleh telah dijumpai dan diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.
“Namun Putra Aniq Fairuz masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi masih berjalan sehingga kini.
Operasi ini disertai 16 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – MalaysiaGazette
















