Pihak bomba berjaya memadamkan api sebelum ia merebak ke bahagian lain.

BUTTERWORTH – Sambutan Tahun Baharu Cina pagi ini bertukar cemas bagi dua beranak apabila kediaman mereka di Flat Taman Bagan Lalang di sini terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, seorang wanita berusia 53, bersama anak perempuannya berumur 16 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak di unit mereka yang terletak di tingkat satu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth tiba di lokasi pukul 7.47 pagi.

Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah flat Kelas A dengan api tertumpu di bahagian bilik menyebabkan kira-kira 40 peratus kemusnahan keseluruhan rumah.

Pemadaman dilakukan dari dalam dan luar rumah serta menggunakan teknik fire break bagi menghalang api daripada merebak ke bahagian lain.

“Kebakaran berjaya dikawal pukul 8.06 pagi dan operasi ditamatkan pukul 9.12 pagi selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut, manakala Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut dijalankan bagi pengambilan maklumat pemilik premis serta khidmat nasihat dan bantuan mengikut keperluan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast