MADRID – Seramai lima orang terkorban manakala empat yang lain cedera dalam satu kebakaran di sebuah blok pangsapuri berhampiran Barcelona.
Kebakaran itu tercetus pada petang Isnin di sebuah bilik stor dalam bangunan lima tingkat di bandar Manlleu, kira-kira 80 kilometer di utara Barcelona, menurut perkhidmatan bomba wilayah Catalonia di timur laut Sepanyol pada hari Selasa.
“Lima orang meninggal dunia malam ini dan empat yang lain cedera ringan,” kata pihak bomba.
Media tempatan melaporkan, kesemua mangsa itu merupakan golongan muda yang berkumpul di tingkat atas bangunan tersebut.
“Atas sebab yang masih belum diketahui, individu di dalam bilik stor berkenaan tidak dapat keluar,” dan “tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan nyawa mereka” walaupun pasukan bomba dan ambulans telah dikerahkan, menurut kenyataan itu.
Polis telah memulakan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran itu. – Agensi
















