KULAI – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang motosikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Inas-Taib Andak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha NVX dan kereta Proton Wira berlaku pukul 4.45 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Wira yang bergerak dari arah Bandar Tenggara menghala ke Kulai hilang kawalan.
“Kereta itu kemudian terbabas lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa berusia 20 tahun yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk proses bedah siasat.
Pemandu Proton Wira berusia 35 tahun pula katanya, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















