KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan saksi awam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pekerja kilang wanita di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, dalam kejadian petang Ahad lalu.
Nahas yang berlaku kira-kira jam 7.50 petang telah mengorbankan mangsa, Balqis Natasya Habibulah, 21.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menuju ke Sungai Petani.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan ketika sedang bergerak lurus lalu terbabas ke bahagian kanan jalan sebelum terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat impak nahas tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jasad mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat lanjut agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















