KUALA LUMPUR — Tahun Baharu Cina menuntut keberanian untuk melakukan perubahan, kata bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamzah Zainudin dalam perutusan sempena sambutan perayaan itu.
Beliau menyifatkan perayaan berkenaan sebagai lambang keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang mencerminkan kekuatan negara bangsa.
Menurutnya, saban tahun rakyat meraikan kepelbagaian budaya dengan penuh kegembiraan sekali gus memperkukuh perpaduan nasional.
“Tahun Kuda juga menuntut kita semua agar berani membuat perubahan, berani melakukan reset serta tidak hanyut dengan nostalgia lalu — kerana cabaran semasa dan mendatang mendambakan pembaharuan khususnya dalam konteks kepimpinan.
“Marilah kita melangkah ke tahun baharu ini dengan tekad yang lebih padu dengan keberanian untuk melakukan perubahan dan dengan keyakinan bahawa Malaysia mampu bangkit lebih kuat,” katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu Cina hari ini.
Hamzah berkata, dalam kalendar lunar, tahun ini merupakan Tahun Kuda yang membawa makna simbolik tersendiri kepada masyarakat.
“Kuda melambangkan kekuatan, ketangkasan, daya tahan dan semangat untuk mara ke depan. Kuda juga melambangkan kebebasan, kesetiaan dan keberanian menempuh cabaran demi sebuah kejayaan.
“Perlambangan ini amat bertepatan dengan keadaan negara hari ini — Malaysia memerlukan semangat ‘kuda yang gagah berlari’,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan strategi dan dasar yang jelas bagi memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita mesti berlari dengan strategi yang tersusun dan realistik, arah yang betul, hala tuju yang jelas, dasar yang konsisten serta tadbir urus yang berintegriti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar diterjemahkan dalam bentuk kesejahteraan rakyat, bukan hanya sekadar cantik pada statistik di atas kertas,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Selain beliau, tindakan sama turut dikenakan terhadap ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik.
Pemecatan itu turut membabitkan beberapa pemimpin lain termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban Mohd Yadzil Yaakub.
Tindakan disiplin berkenaan juga melibatkan pemimpin di peringkat bahagian termasuk Setiausaha Bersatu Sabah dan Ketua Bahagian Libaran Yunus Nurdin serta beberapa ketua bahagian lain.
Pemecatan tersebut berlaku di tengah ketegangan dalaman parti susulan laporan bahawa Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap Hamzah atas dakwaan melanggar peraturan parti di bawah Klausa 9.1.4 perlembagaan parti. — MalaysiaGazette
















