KOTA TINGGI – Nenek kepada kanak-kanak lemas di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kechil di sini semalam mendakwa semasa kejadian mangsa dan dua cucunya yang lain sedang mencari kerang di tepi pantai.
Rupiah Ayoob, 66, berkata, keluarga mereka menyangka cucunya yang maut, Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul, 11, dan dua lagi yang terselamat, Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, dan adiknya, Arman Hanif, 11, sudah naik ke darat semasa kejadian.
Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, mereka sudah bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing selepas datang ke pantai tersebut sejak pagi.
“Saya dimaklumkan kejadian menimpa cucu-cucu saya kira-kira pukul 3 petang. Anak memberitahu ketika itu mereka memang sudah berkemas untuk pulang.
“Ingatkan mereka bertiga di atas (sudah naik ke darat) rupanya dekat bawah (pantai) tapi bukan sedang mandi sebab mereka sudah bersiap nak balik. Tak sangka pula terlibat insiden lemas itu.
“Sebelum ini, mereka sebenarnya rancang nak ke Kuala Lumpur, maklum sahaja cuti sekolah tapi tak jadi. Allah sudah tentukan mereka ke pantai dan mereka datang memang bukan untuk mandi sebab tahu ombak kuat,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.
Dia dimaklumkan kejadian itu selepas Mohamad Soleh yang pandai berenang berjaya menyelamatkan adiknya, Arman.
Namun dia tidak sempat menyelamatkan sepupunya, Putra Aniq Fairuz kerana sudah keletihan sebelum turut sama dihanyut ombak.
Ujarnya, kehadiran mereka di pantai tersebut bukan untuk mandi sebaliknya hanya untuk beriadah.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Putra Aniq Fairuz adalah pada Ahad lalu ketika cucunya itu mengikutnya ke kebun.
“Ahad lepas dia ikut saya pergi kebun tolong bersihkan kebun. Tak sangka itu kali terakhir saya jumpa dia. Walaupun seorang yang pendiam, arwah adalah seorang yang memang berani orangnya,” katanya yang memaklumkan jenazah cucunya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff.
Terdahulu, portal ini melaporkan Putra Aniq Fairuz ditemui lemas manakala Mohamad Soleh dan Arman Hanif terselamat.
Mayat Putra Aniq Fairuz ditemui pukul 10.26 malam tadi di pesisir pantai, lebih sembilan jam selepas operasi mencari dan menyelamat diaktifkan semalam.
Mayatnya ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian yang didirikan di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















