JOHOR BAHRU – Kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Utara Selatan antara Simpang Renggam ke Johor Bahru/Johor Bahru ke Simpang Renggam kini mencapai tahap yang sangat membimbangkan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman menuntut beberapa langkah dilakukan segera bagi menangani masalah tersebut yang membebankan pengguna jalan raya.
“Antaranya, pelan pengurusan trafik yang lebih efektif mesti dilaksanakan dengan pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembinaan dipercepatkan dengan garis masa yang jelas.
“Selain itu diberikan maklumat berkaitan penutupan lorong, tempoh gangguan, dan laluan alternatif disampaikan secara telus dan konsisten kepada orang ramai.
“Ini termasuk pertimbangan diberikan kepada pembukaan laluan tambahan atau pelepasan tol sementara bagi meringankan beban pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak berkuasa juga harus mempertimbangkan penguatkuasaan waktu kerja yang fleksibel untuk projek-projek besar bagi mengurangkan tekanan kepada pengguna jalan raya pada waktu puncak.
Rakyat, katanya, tidak seharusnya terus menanggung kesan kelemahan perancangan dan pengurusan infrastruktur yang berulang kali berlaku.
Kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan mesti tampil dengan penjelasan penuh dan mengambil langkah penyelesaian yang konkrit, bukan sekadar memberikan alasan teknikal yang berulang-ulang.

Pejuang Johor akan terus membangkitkan suara rakyat, menekan pihak berkuasa untuk bertanggungjawab dan memastikan isu berkenaan tidak dipandang ringan.
“Keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya mestilah menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan infrastruktur, kerana setiap hari kelewatan dan kesesakan yang berpanjangan menjejaskan kehidupan rakyat dan ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya.
Pejuang Johor menegaskan isu kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan berlaku hampir setiap hari ini berpunca daripada kerja-kerja penambahbaikan lebuh raya yang walaupun bertujuan baik tetapi dilihat tidak diuruskan secara sistematik dan berkesan.
Dakwanya, situasi itu memberi kesan langsung kepada ribuan pengguna jalan raya termasuk pekerja yang terpaksa lewat sampai ke tempat kerja, pelajar yang terlepas kelas atau peperiksaan, peniaga yang menghadapi kerugian kerana penghantaran lewat serta pengusaha logistik yang menghadapi kos tambahan dan jadual penghantaran terganggu.
Lebih membimbangkan kesesakan yang berpanjangan itu turut meningkatkan risiko kemalangan dan mencetuskan tekanan mental kepada pengguna jalan raya.
Walaupun Pejuang Johor memahami kepentingan penambahbaikan infrastruktur demi keselamatan dan keselesaan jangka panjang, pelaksanaannya harus dilakukan dengan perancangan yang teliti, fasa kerja yang jelas, serta komunikasi yang efektif kepada orang ramai.
Menurutnya, kegagalan pihak berkuasa dan pihak konsesi dalam mengurus trafik, menyediakan laluan alternatif atau memberi maklumat yang tepat kepada pengguna jalan raya, menunjukkan kelemahan serius dalam koordinasi antara kerajaan negeri, kontraktor dan agensi pelaksana.
“Masalah ini jelas membebankan rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam setiap projek pembangunan,” katanya.- MalaysiaGazette
















