KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Damansara menafikan berlaku pembubaran seperti yang tular kebelakangan ini.
Setiausahanya, Aliff Taufid menegaskan, dakwaan itu tidak benar dan tidak berlaku.
“Bersatu Bahagian Damansara kekal berfungsi seperti biasa dan tidak pernah dibubarkan,” katanya hari ini.
Namun, beliau mendedahkan Ketua Bahagian Damansara, Mhd Redzuan Mohd Ali, telah menyuarakan hasrat agar Bersatu Damansara dibubarkan dalam satu mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini.
Tetapi, cadangan tersebut telah ditentang keras oleh majoriti jawatan kuasa bahagian.
“Jawatan kuasa bahagian turut meminta agar Ketua Bahagian mempertimbangkan untuk meninggalkan parti susulan pendirian tersebut. Walau bagaimanapun, selepas itu beliau masih berhasrat untuk mengekalkan jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan parti akan dating,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, dalam satu perjumpaan jawatan kuasa bahagian yang dihadiri oleh lebih daripada dua pertiga kepimpinan bahagian telah membuat satu ketetapan secara sebulat suara iaitu usul tidak percaya terhadap Mhd Redzuan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Damansara.
Jawatan kuasa bahagian turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan pucuk pimpinan parti serta memberikan kepercayaan penuh kepada Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Damansara, Muhammad Rais Abu Hasan Ashari, untuk memangku jawatan ketua bahagian sehingga pemilihan parti akan datang.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa Bersatu Bahagian Damansara tidak dibubarkan, jawatan kuasa bahagian kekal seperti sedia ada, hanya tiga individu termasuk penyandang ketua bahagian menyokong cadangan pembubaran, selebihnya kepimpinan kekal setia bersama parti,” tambahnya yang menjelaskan keadaan sebenar dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta masyarakat umum. – MalaysiaGazette
















