KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan bahawa Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan sebaliknya menegaskan tindakan tersebut tidak berasas serta bercanggah dengan perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ibu pejabat Bersatu menerima laporan berhubung beberapa pautan media sosial dan kenyataan media yang mendakwa kononnya empat bahagian berkenaan dibubarkan susulan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian.
Menurut beliau, perlembagaan parti tidak memperuntuk kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian.
“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu.
“Ini merupakan tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin menjelaskan, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 14 Februari lalu telah mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap Bahagian serta mengenal pasti langkah-langkah drastik bagi memulihkan bahagian yang bermasalah.
Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan parti untuk memperkukuh Bersatu di semua peringkat.
Sehubungan itu, beliau mengesahkan Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong masih wujud mengikut Perlembagaan parti dan MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan sedia ada.
“Saya yakin Bersatu hari ini semakin matang, utuh dan akan melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu untuk membawa agenda perjuangan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















