KUALA LUMPUR – Kenaikan cukai eksais tembakau merupakan antara langkah paling berkesan untuk mengurangkan tabiat
merokok, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah yang lebih sensitif terhadap harga.
Namun, untuk memastikan kenaikan harga benar-benar berkesan dan tidak dimanipulasi oleh pasaran haram, penguatkuasaan menyeluruh dan terselaras mesti menjadi asas utama pelaksanaannya.
Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr. Murallitharan Munisamy berkata, kajian global secara konsisten menunjukkan kenaikan harga melalui cukai mengurangkan kadar permulaan merokok dalam kalangan remaja, menggalakkan perokok sedia ada untuk berhenti dan mengurangkan penggunaan dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Oleh itu, sudah menjadi keperluan mendesak untuk kerajaan menyemak semula cukai produk tembakau yang tidak dinaikkan sejak 2015 demi mencapai sasaran “smoking product endgame” menjelang 2045.
Katanya, naratif kononnya kenaikan cukai akan secara automatik meningkatkan penyeludupan sering dibesar-besarkan oleh industri tembakau.
Tetapi laporan Confronting Illicit Tobacco Trade: A Global Review of Country Experiences oleh World Bank menunjukkan perdagangan haram lebih berkait dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus, bukannya kadar cukai
semata-mata.
Sehubungan itu, MCTC menegaskan kenaikan cukai mesti dilaksanakan seiring dengan pengukuhan sistem kawalan dan pemantauan rantaian bekalan.
“Malaysia juga perlu segera meratifikasi Protocol to Eliminate Illicit Trade in Tobacco Products, yang bertujuan menghapuskan semua bentuk perdagangan haram produk tembakau selaras dengan Artikel 15 FCTC.
“Ratifikasi ini akan memperkukuh mekanisme pelesenan, system penjejakan dan pengesanan, serta kerjasama rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Murallitharan menambah, pada masa ini, fungsi kawalan produk tembakau terbahagi antara beberapa agensi iaitu pelesenan jualan runcit di bawah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, larangan merokok dan pengiklanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Manakala kawalan duti dan penandaan cukai di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pengurusan sisa termasuk puntung rokok oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Katanya, pemecahan bidang kuasa ini menyebabkan pertindihan dan kekangan sumber, justeru MCTC mencadangkan penyelarasan kuasa penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mandat jelas dan sumber mencukupi.
Pendekatan bersepadu ini akan mengurangkan ketirisan hasil cukai, membanteras produk tidak bercukai, meningkatkan pematuhan peruncit dan mngukuhkan keberkesanan dasar kenaikan Harga.
Jelasnya, tanpa asas penguatkuasaan yang kukuh, kesan positif kenaikan cukai akan terhakis oleh pasaran haram. – MalaysiaGazette
















