KUALA LUMPUR –  Proses tawaran haji bagi musim 1447H/2026M berjalan lebih lancar dengan kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah telah diisi sepenuhnya lebih awal, sekali gus menyaksikan kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus berbanding 50 peratus pada musim lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, pihaknya menerima sekitar 85,000 permohonan rayuan haji bagi musim 1447H berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600 orang.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini dengan inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan agar bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara telah dapat dipenuhi lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, permohonan rayuan haji bagi musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H.

Namun, permohonan rayuan yang telah diterima sebelum tarikh berkenaan kekal dalam pertimbangan TH.

“Sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit serta kriteria yang telah ditetapkan.

“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah dan semoga semua usaha bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT,” tambahnya.

Dalam pada itu, TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1447H.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April manakala, penerbangan terakhir pada 20 Mei nanti, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast