KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Malaysia membantah keras tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menghantar 12 pegawai bagi menutup serta merampas bahan dakwah di reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang, petang semalam.
Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam, Pemuda Pas Malaysia, Mohamed Sukri Omar, tindakan tersebut menimbulkan persoalan besar dari sudut kewajaran, keutamaan penguatkuasaan dan prinsip keadilan pentadbiran memandangkan ketika operasi dijalankan hanya seorang sukarelawan bertugas di reruai berkenaan.
Beliau berkata, aktiviti Street Dakwah telah berlangsung selama 14 tahun di lokasi itu secara aman dan terbuka tanpa sebarang insiden.
“Program berkenaan bukan berbentuk jual beli, bukan program politik dan tidak mengganggu lalu lintas awam. Malah sebelum ini, penganjur dimaklumkan tiada keperluan permit kerana tiada unsur komersial serta tidak menghalang orang ramai.
“Jika benar terdapat polisi baharu yang mewajibkan permit, ia sepatutnya dimaklumkan secara jelas dan bertulis serta dilaksanakan secara berperingkat, bukannya secara mengejut dengan tindakan rampasan. Lebih-lebih lagi apabila minggu sebelumnya aktiviti sama berlangsung tanpa sebarang teguran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Sukri turut mempersoalkan dakwaan bahawa, hanya reruai dakwah MRM dirampas sedangkan terdapat aktiviti lain di kawasan sekitar yang melibatkan peletakan barangan serta jualan.
“Jika semua pihak lain memiliki permit, jelaskan kepada umum supaya tidak timbul persepsi penguatkuasaan terpilih. Jika tidak, prinsip keadilan menuntut tindakan yang konsisten terhadap semua,” ujarnya.
Menurut beliau, MRM merupakan organisasi yang patuh kepada undang-undang dan bersedia memohon permit atau membayar kompaun sekiranya diperlukan.
Katanya, pendekatan mereka jelas iaitu menghormati undang-undang dan institusi.
Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan berhubung dakwaan terdapat pihak yang mempunyai hak mengurus kawasan tersebut serta merancang menyewakannya kepada pihak lain.
“Jika benar kawasan pejalan kaki awam diserahkan kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial, maka DBKL wajar menjelaskan dasar dan mekanismenya agar tidak menjejaskan hak penggunaan awam secara adil,” katanya.
Tambah beliau, dakwah secara aman adalah hak yang dijamin dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan selagi tidak menggugat ketenteraman awam.
Menurutnya lagi, pendekatan keras terhadap aktiviti dakwah sukarela dan tidak komersial boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam masyarakat.
“Saya percaya DBKL adalah institusi profesional. Justeru, saya menggesa agar penjelasan rasmi diberikan kepada umum dan ruang dialog dibuka segera supaya isu ini dapat diselesaikan secara matang, berwibawa dan berlandaskan prinsip keadilan.
“Undang-undang mesti ditegakkan secara konsisten. Penguatkuasaan mesti bebas daripada persepsi pilih kasih. Dan ruang dakwah yang aman tidak wajar dilihat sebagai ancaman. Saya menuntut DBKL dan Menteri Wilayah memberi penjelasan segera,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















