Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Putih, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menarik semula permohonan rayuan terhadap notis penggantungan yang difailkan kepada Lembaga Disiplin Bersatu susulan hilangnya kepercayaan terhadap matlamat perjuangan serta kelemahan tadbir urus parti berkenaan.

Permohonan rayuan tersebut sebelum ini dirujuk melalui surat bernombor AMPT/2025/AppIL/LRB-002 bertarikh 24 Disember 2025 dan prosiding rayuan telah dijalankan pada 3 Februari lalu di Ibu Pejabat Bersatu.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, keputusan menarik balik rayuan dibuat selepas mempertimbangkan situasi semasa parti termasuk dakwaan kelemahan dalam mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik dan adil.

Beliau turut merujuk laporan media yang menyatakan dirinya merupakan antara 17 pimpinan parti yang dipecat bersama Hamzah Zainudin pada 13 Februari lalu.

Tindakan tersebut didakwa sebagai satu usaha penyingkiran beramai-ramai terhadap pimpinan yang dilihat menggugat kedudukan pihak tertentu dalam parti.

“Pihak saya dengan penuh penghormatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin memaklumkan berkenaan penarikan semula permohonan rayuan saya.

“Pihak saya tidak lagi berminat untuk meneruskan rayuan terhadap notis penggantungan tersebut atas sebab hilangnya kepercayaan saya kepada matlamat perjuangan Bersatu dan kelemahan Bersatu dalam mengamalkan amalan urustadbir yang baik & adil (good governance),” katanya menerusi surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu, Tan Sri Azhar Harun.

Beliau bagaimanapun memaklumkan berasa lega dan tenang dengan keputusan yang dibuat.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pengerusi dan seluruh pasukan Lembaga Rayuan Bersatu atas kesediaan mendengar serta memberi ruang kepada proses keadilan dilaksanakan selaras dengan prinsip keadilan asasi.

Beliau turut mendoakan agar kepimpinan Lembaga Rayuan terus berpegang teguh kepada prinsip keadilan serta dikurniakan kekuatan dan keberkatan dalam melaksanakan tanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast