KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, empat kumpulan telah merekodkan peningkatan lebih tinggi pada Januari 2026 berbanding bulan sebelumnya iaitu penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan, 6.6 peratus (Disember 2025: 5.7%); pendidikan, 3.2 peratus (Disember 2025: 2.8%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.2 peratus (Disember 2025: 0.9%) dan rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.9 peratus (Disember 2025: 0.8%).
Kedua-dua kumpulan minuman alkohol & tembakau (2.5%) dan makanan & minuman (1.5%) meningkat pada kadar yang sama yang direkodkan pada Disember 2025.
Namun, peningkatan perlahan bagi kumpulan insurans & perkhidmatan kewangan, 5.5 peratus (Disember 2025: 5.6%); restoran & perkhidmatan penginapan, 3.0 peratus (Disember 2025: 3.1%); kesihatan, 1.4 peratus (Disember 2025: 1.5%); maklumat & komunikasi, 0.7 peratus (Disember 2025: 0.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah, 0.2 peratus
(Disember 2025: 0.3%), sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Selain itu, inflasi bagi kumpulan pakaian & kasut kekal tidak berubah pada Januari 2026 berbanding tahun sebelumnya (Disember 2025: 0.1%).
Manakala, kumpulan pengangkutan mencatatkan trend menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026 berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Sebanyak 62.0 peratus item (355 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.
Tetapi daripada jumlah tersebut, 346 item (97.5%) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya sembilan item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Januari 2026.
Baki sebanyak 173 item (30.2%) menunjukkan penurunan dan 45 item kekal tidak berubah.
Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.5 peratus, kadar yang sama direkodkan pada Disember 2025.
Subkumpulan makanan di luar rumah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan kepada 2.5 peratus berbanding 2.7 peratus pada Disember 2025.
Manakala, subkumpulan makanan di rumah meningkat lebih tinggi, 0.6 peratus pada Januari 2026 (Disember 2025: 0.3%) disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan daging (1.3%) dan susu, produk tenusu lain & telur (0.3%).
Kelas perbelanjaan daging merekodkan peningkatan 1.3 peratus pada Januari 2026 berbanding 0.7 peratus pada Disember 2025 dengan daging ayam segar merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging
meningkat 1.5 peratus berbanding 0.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Purata harga ayam standard Malaysia pada Januari 2026 adalah RM10.53 sekilogram berbanding RM10.40 sekilogram pada bulan Januari 2025 (Disember 2025: RM10.43).
Manakala, purata harga ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia direkodkan pada RM9.83 sekilogram berbanding
RM9.59 sekilogram pada Januari 2025 (Disember 2025: RM9.72).
Selain itu, peningkatan kelas perbelanjaan daging turut disumbangkan oleh daging khinzir, 4.4 peratus (Disember 2025: 3.8%) dan daging kambing tempatan, 3.4 peratus (Disember 2025: 3.2%).
Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain & telur meningkat secara marginal kepada 0.3 peratus pada Januari 2026 (Disember 2025: -0.1%) dipacu oleh subkelas perbelanjaan telur dan susu bukan daripada sumber haiwan yang masing-masing meningkat kepada 3.9 peratus dan 1.1 peratus berbanding 2.8 peratus dan 0.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Kelas perbelanjaan sayur-sayuran terus merekodkan penurunan kepada negatif 3.0 peratus berbanding Disember 2025 (-4.2%).
Subkumpulan makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 2.5 peratus pada Januari 2026 berbanding bulan sebelumnya (2.7%), antara kenaikan lebih rendah ialah martabak, 3.8 peratus (Disember 2025: 4.3%); sate, 3.7 peratus (Disember 2025: 4.2%) dan nasi campur, 3.6 peratus (Disember 2025: 3.8%).
Inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat lebih tinggi kepada 1.2 peratus pada Januari 2026 berbanding 0.9 peratus pada Disember 2025 didorong oleh subkumpulan bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman yang meningkat kepada 7.1 peratus berbanding 6.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Peningkatan ini adalah kesan daripada kenaikan caj bulanan pembetungan bagi premis domestik dan rumah Kerajaan di dalam
kategori A, B, C, D dan E yang meningkat kepada RM15.32 berkuatkuasa pada Januari 2026 berbanding RM12.32 pada bulan sebelumnya.
Manakala, subkumpulan elektrik, gas & bahan api masih berada pada jajaran negatif iaitu pada negatif 7.2 peratus (Disember 2025: -8.3%).
Inflasi kumpulan pengangkutan menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026 berbanding 0.1 peratus pada Disember 2025 didorong oleh kedua-dua subkumpulan perkhidmatan pengangkutan barangan dan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang merekodkan penurunan kepada negatif 1.4 peratus (Disember 2025: -1.4%) dan negatif 1.0 peratus
(Disember 2025: -0.3%).
Mohd Uzir berkata, tiga negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional (1.6%) iaitu Johor (2.1%), Negeri Sembilan (2.0%) dan Pahang (1.9%).
Manakala, baki 13 negeri meningkat di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.3%) pada Januari 2026.
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman kecuali Kelantan (-0.3%).
Lima negeri merekodkan peningkatan melepasi paras nasional bagi inflasi makanan & minuman (1.5%) pada Januari 2026 dengan kenaikan tertinggi direkodkan oleh Negeri Sembilan (3.2%), diikuti oleh Pahang (2.6%), Johor (2.5%), Kuala Lumpur (2.0%) dan Melaka (1.7%).
Manakala, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah dan sama dengan paras inflasi nasional makanan
& minuman. – MalaysiaGazette
















