Gimik penyerahan program Dapo MAIDAM yang disempurnakan oleh Tuanku Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu.

KUALA NERUS – Hampir 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima manfaat hasil pelaksanaan inisiatif Program Dapo MAIDAM dengan nilai keseluruhan mencecah RM570,000, sekali gus memperkukuh agenda kesejahteraan dan kebajikan pelajar institusi berkenaan.

Inisiatif dengan sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu melibatkan sumbangan makanan berjumlah RM70,000 atau kira-kira RM300 seorang kepada mahasiswa yang memerlukan, khususnya dalam kalangan asnaf dan golongan B40.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan mahasiswa secara holistik.

Menurutnya, pembangunan bakat mahasiswa perlu digerakkan secara menyeluruh merangkumi pencapaian akademik, pembinaan nilai kemanusiaan serta pengalaman pembelajaran yang bermakna.

“Mahasiswa perlu didedahkan dengan pengalaman sebenar yang membentuk empati, menghargai kepelbagaian dan memupuk nilai kemanusiaan dalam diri. Kecemerlangan akademik harus diseimbangkan dengan pembangunan sahsiah dan jati diri,” katanya.

Tambah beliau, pihak HEPA UMT turut menekankan penciptaan pengalaman pelajar melalui pelbagai program dan aktiviti di peringkat kampus serta luar negara, termasuk penyertaan dalam program mobiliti antarabangsa, kesukarelawanan dan projek komuniti.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pusat Ihsan UMT turut memperuntukkan RM100,000 bagi membantu pelajar asnaf yang aktif menyertai program pembangunan diri termasuk penganjuran di peringkat antarabangsa.

“Peruntukan ini bertujuan memastikan mahasiswa tidak tercicir daripada peluang memperkasa diri hanya kerana kekangan kewangan. Kita mahu melahirkan mahasiswa idaman yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial,” ujarnya.

Selain itu, inisiatif kebajikan turut diperluaskan melalui Program Infaq Siswa Madani (PISM) yang menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelajar sepanjang Ramadan, di samping aktiviti menyantuni gelandangan sebagai sebahagian usaha menyemai nilai empati dan tanggungjawab sosial.

Mengulas cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, Dr. Mohd Izani berkata, HEPA UMT akan terus memberi sokongan terhadap agenda keusahawanan mahasiswa sebagai alternatif kerjaya yang berdaya tahan.

Katanya, pendekatan itu selari dengan aspirasi universiti dalam menyokong agenda ekonomi biru negara, sejajar kepakaran UMT dalam bidang marin dan kelautan.

“Mahasiswa perlu diperkasa dengan kemahiran insaniah, daya saing global serta keberanian meneroka bidang keusahawanan. Sokongan daripada agensi luar seperti MAIDAM amat signifikan dalam memastikan agenda pembangunan mahasiswa dapat
dilaksanakan secara mampan,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama strategik antara universiti dan agensi luar akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast