KUALA LUMPUR – Jasad Ahmad Nuruddin Ab. Wahab, 21, yang dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, dekat Bachok ditemui awal pagi tadi selepas 37 jam hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat tersebut ditemui orang awam pada jam 6.55 pagi tadi, terdampar pada jarak 3.7 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Tragedi ini berlaku pada petang Selasa lalu apabila Ahmad Nuruddin datang bersama 20 ahli keluarga untuk berkelah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, sebelum ini berkata, ketika kejadian, beberapa ahli keluarga dipercayai mandi-manda sebelum Ahmad Nurruddin dan anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, dipercayai hampir lemas.
Abang mangsa, Ahmad Badrul Naim, seorang anggota bomba dari Bayan Baru, Pulau Pinang dan bapa Mohd Ali bergegas menyelamatkan mereka.
Namun hanya Mohd Ali berjaya diselematkan dan dua lagi hilang dibawa arus.
Mayat Ahmad Badrul Naim ditemui terdampar di pantai tengah hari semalam dan telah selamat dikebumikan. – MalaysiaGazette
















