Zulkifli berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 yang disiarkan secara langsung dari Studio TV Al-Hijrah di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempergiatkan pendigitalan pengurusan wakaf selaras dengan hala tuju negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), MyDIGITAL dan agenda Malaysia Madani.

Ia termasuk memperkenalkan Aplikasi Go Waqf bagi memudahkan orang ramai berwakaf secara dalam talian dengan sasaran kutipan RM1 juta sepanjang Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, wakaf perlu digerakkan secara lebih moden, sistematik dan diyakini bagi memastikan ia kekal relevan sebagai instrumen pembangunan ummah dan negara.

Menurut beliau, pendigitalan bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memudahkan orang ramai berwakaf melalui platform digital dan aplikasi mudah alih yang selamat, mesra pengguna serta telus.

“Seiring dengan RMKe-13, MyDIGITAL dan agenda Malaysia Madani, pendekatan digital akan memperkukuh ekosistem wakaf negara serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 yang disiarkan secara langsung dari Studio TV Al-Hijrah di sini, hari ini.

Zulkifli menjelaskan, antara inisiatif yang dilaksanakan bagi tujuan itu termasuk penggunaan Portal Wakaf Pendidikan Digital atau Waqf Go Learning yang diperkenalkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Malaysia Digital Agreement Gateway (MYDAG) serta pelaksanaan Smart Digital Infaq di masjid dan surau seluruh negara.

Katanya, melalui pendekatan ini sebahagian hasil atau bayaran yang diperoleh daripada penggunaan platform berkaitan akan disalurkan sebagai dana wakaf YWM disamping memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan sokongan padu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri, pendekatan tersebut mampu menggalakkan penyertaan masyarakat secara lebih meluas dan berterusan.

Bagi menyemarakkan sambutan tersebut, iklan khas kesedaran berwakaf akan disiarkan di semua stesen televisyen di seluruh negara bagi membantu masyarakat memahami kepentingan wakaf serta tatacara berwakaf yang betul.

Pada masa sama, Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran (Edisi Kemas Kini) yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama YWM, MAIN serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan diperkenalkan sebagai rujukan kepada masyarakat.

Menurut Zulkifli lagi, garis panduan itu penting bagi memastikan amalan mewakafkan Al-Quran dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berintegriti dan selaras dengan kehendak syariah.

JAWHAR serta YWM melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 (BWK) sebagai inisiatif nasional berterusan untuk memperkukuh budaya wakaf dalam kalangan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

BWK mula diperkenalkan pada 2021 dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan potensi wakaf dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

Ia juga berperanan membina ekosistem wakaf yang mampan, yang secara holistik menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Wakaf merupakan instrumen kewangan sosial Islam yang berpotensi besar dalam menyokong pembangunan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan ekonomi ummah. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast