Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bergambar bersama 27 penghantar makanan menghantar makanan di Pengkalan Balak, Melaka hari ini.

MELAKA – Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka untuk menawarkan potongan harga servis motosikal kepada pekerja penghantar makanan atau p-hailing disambut baik golongan berkenaan yang menyifatkannya mampu meringankan beban kos penyelenggaraan kenderaan.

Bagi mereka, inisiatif itu amat bermakna memandangkan motosikal merupakan aset utama untuk mencari rezeki, sedangkan kos penyelenggaraannya perlu ditanggung secara berkala.

Mereka turut berharap kemudahan berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan bagi membantu mengurangkan kos operasi yang ditanggung pekerja p-hailing.

Seorang penghantar makanan, Muhammad Akmal Mustapha Kamal, 37, berkata, dia lazimnya membelanjakan antara RM100 hingga RM150 bagi penyelenggaraan motosikal.

“Secara purata memang sekitar RM150 untuk tukar minyak hitam, rantai dan sebagainya.

“Jika ini dapat dilaksanakan, memang ia benar-benar membantu golongan seperti kami,” katanya.

Muhammad Akmal Mustapha Kamal

Dia ditemui selepas menyertai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam program penghantaran makanan ke beberapa rumah sekitar Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Masjid Tanah di sini hari ini.

Muhammad Akmal yang sudah lima tahun bekerja dalam sektor berkenaan berkata, inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pekerja p-hailing.

“Ini satu berita gembira buat kami daripada sebuah kerajaan negeri yang amat mengambil berat terhadap kehidupan rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan, Syamsul Kamal Sidek, 40, berkata, langkah kerajaan negeri membantu golongan sepertinya amat melegakan terutama ketika mereka berdepan pendapatan yang tidak menentu.

Syamsul Kamal Sidek

Menurutnya, faktor cuaca, pertambahan jumlah pekerja p-hailing serta musim cuti pelajar institusi pengajian tinggi antara perkara yang boleh mempengaruhi jumlah tempahan dan pendapatan mereka.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu dan bilangan pekerja p-hailing yang semakin bertambah menyebabkan pendapatan berkurangan.

“Seperti saya, jika pelajar institusi pengajian tinggi di sini bercuti panjang, pendapatan juga akan berkurangan.

“Maknanya, kalau kerja bermula jam 8 pagi hingga 10 malam, hendak dapat RM100 pun susah,” katanya.

Sehubungan itu, Syamsul Kamal berharap inisiatif potongan harga servis motosikal berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada pekerja penghantar makanan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

Lebih 3,000 penghantar makanan Melaka bakal nikmati diskaun servis motosikal 30%

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here