KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menggesa supaya kempen kesedaran secara menyeluruh dilaksanakan supaya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) benar-benar difahami rakyat.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kempen kesedaran itu boleh dilaksanakan di institusi pendidikan; dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti serta melalui media pelbagai bahasa.
Dalam masa sama, beliau menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memastikan IPCC tidak menjadi sekadar simbol politik, tetapi benar-benar berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif dan bebas.
Menurutnya, usaha memperkukuhkan IPCC bukan bertujuan melemahkan institusi polis, sebaliknya adalah langkah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pasukan keselamatan negara.
“Reformasi yang sebenar ialah reformasi yang berani menyentuh struktur, prosedur dan budaya kerja, bukan sekadar pelantikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya menghormati proses pelantikan timbalan pengerusi dan anggota baharu IPCC dan mengharapkan barisan baharu berkenaan mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti dan keberanian.
Namun, ujarnya, kekuatan sesebuah institusi pemantauan tidak terletak pada nama atau individu semata mata, tetapi pada mekanisme, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaannya.
Sehubungan itu, tambahnya, pihaknya mencadangkan beberapa kritikan konstruktif serta cadangan penambahbaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail khususnya berkaitan mekanisme pelaporan oleh orang awam.
Antaranya, kata beliau, IPCC tidak boleh dilihat sebagai institusi yang sukar didekati atau terlalu birokratik, justeru portal aduan digital dibangunkan perlu dipastikan mudah difahami dan boleh diakses tanpa kerumitan teknikal.
“Jika proses aduan terlalu kompleks, rakyat akan memilih untuk berdiam diri. Akhirnya reformasi hanya menjadi angan-angan mat jenin,” katanya.
Tambah beliau, isu paling besar dalam laporan salah laku ialah ketakutan terhadap tekanan dan tindakan balas, justeru kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa mekanisme aduan tanpa nama dilindungi sepenuhnya.
Selain itu, ujarnya, perlindungan kepada saksi perlu dilaksanakan secara berkesan dan bukan sekadar peruntukan atas kertas, serta perlu dipastikan tiada tindakan balas atau diskriminasi terhadap pengadu.
“Tanpa perlindungan yang kukuh, IPCC akan kehilangan keberanian rakyat untuk tampil membawa kes berat,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya berpandangan IPCC perlu menetapkan standard ketelusan yang tinggi, justeru mencadangkan garis masa penyiasatan yang jelas mengikut kategori kes.
Selain itu, tambahnya, IPCC juga dicadangkang membentangkan laporan tahunan secara terbuka kepada Parlimen dan rakyat, manakala statistik kes dan kadar penyelesaian dikemas kini secara berkala.
“IPCC mesti turun ke lapangan. Rakyat perlu faham hak mereka dan saluran yang tersedia,” katanya. – MalaysiaGazette
















