Peniaga melakukan kerja kerja sebagai persiapan akhir bazar Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINALL, 18 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Para peniaga bazar Ramadan di Jalan Raja Alang, dekat Kampung Baru di sini giat membuat persiapan akhir untuk memulakan perniagaan petang ini.

Tinjauan MalaysiaGazette lewat malam tadi mendapati, peniaga sudah mula membuat persediaan tempat memasak, memasang kanopi dan meja jualan serta meletakkan kain rentang di gerai masing-masing.

Kanopi besar yang menjadi tempat berniaga, lengkap dengan bekalan elektrik dan kawasan yang luas di bazar itu bakal memberi keselesaan kepada pelanggan dan peniaga sepanjang musim ramadan ini.

Sufi Musa

Menurut peniaga ikan bakar, Sufi Musa, 45, kira-kira RM2,000 kos tambahan diperuntukkan untuk persediaan tahun ini untuk stok bekalan mentah kerana awal Ramadan bertembung dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun tahun ini kita bertembung dengan Tahun Baharu Cina, alhamdulilah stok (ikan) sudah kita simpan dan siapkan lebih awal sebab memang sukar dapatkan bekalan jika musim perayaan ini namun dari segi harga jualan mungkin ada kenaikan kerana kos barang sekarang agak tinggi.

“Dari segi persiapan berniaga, bagi saya ini sangat selesa dengan kanopi yang besar jadi kalau hujan lebat, pelanggan masih tetap datang dan berjalan dengan selesa, bagus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat seperti ini,” katanya pada pemberita.

Nurhasliza Musa

Pandangan sama turut disuarakan peniaga roti bom, Nurhasliza Musa, 45, yang turut melakukan persediaan awal  agar tidak tergesa-gesa pada hari pertama berniaga dan kuantiti bekalan mentah juga disediakan lebih banyak bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Untuk tahun ini kita buat dari awal, keperluan barang berniaga sudah siapkan dan harap tahun ini sambutan lebih menggalakkan kerana biasanya lebih tiga besen tepung (roti bom) disediakan atas permintaan pelanggan yang ingin melaksanakan infak di masjid.

“Kuantiti pula insya- Allah, kita akan dilebihkan kerana melihat kepada keadaan bazar tahun ini lebih selesa dengan khemah besar dan luas untuk semua,” jelasnya.

Syukrillah Herman

Sementara itu, bagi peniaga gerai ‘Mat Cempedak’, Syukrillah Herman, 37, berkata, dia terpaksa membuat pesanan empat hari lebih awal sebelum bulan Ramadan bagi mendapatkan bekalan buah cempedak susulan pertembungan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kita memang sudah buat persediaan awal dari segi mendapatkan buah, minyak dan sebagainya sebab ramadan jatuh pada Tahun Baharu Cina, ditambah sukar untuk pembekal membuat penghantaran dalam tempoh itu.

“Ditambah kita ada tujuh lokasi berniaga tahun ini, maka kita memang cuba sebaik mungkin penuhi bekalan dan persediaan awal Ramadan ini, ditambah kawasan bazar di sini semakin selesa dengn khemah untuk kami serta pelanggan, diharap ada rezeki lebih berbanding tahun lepas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast