Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas hakim mahkamah atasan untuk menyiasat dakwaan perjanjian mega antara Kerajaan Pusat dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai sebanyak RM1.1 bilion.

Sambil melahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan laporan itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.

Lebih serius, ujarnya, berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjanjian itu juga melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.

“Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar.

“Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Takiyuddin, kegagalan bertindak tegas dan telus dalam isu itu hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang.

Ujarnya, PN akan terus memantau perkara itu secara dekat bagi memastikan prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti dan integriti ditegakkan tanpa kompromi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Memetik laporan sumber SPRM, antara tindakan susulan yang sedang diambil ialah memanggil beberapa saksi, termasuk Ketua Setiausaha kementerian terlibat, bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Difahamkan, siasatan itu dijalankan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

SPRM juga dilaporkan telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan perjanjian itu daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast