Ramsay Anak Embol
ACP Ramsay Embol

KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai wanita dengan memakai tudung serta membawa beg tangan sebelum memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 7, dekat Shah Alam, semalam.

Tindakannya terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial. Kes kini disiasat polis mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 7.20 malam, hari sama.

Menurutnya, mangsa merupakan penuntut universiti awam berusia lingkungan 20-an, menyewa rumah berkenaan bersama rakan-rakan.

“Mangsa memaklumkan kali terakhir meninggalkan rumah pada 17 Februari untuk pulang bercuti di kampung.

“Pada 18 Februari kira-kira jam 6.30 petang, selepas pulang daripada bercuti, mangsa mendapati pintu utama rumah terbuka dan keadaan dalam rumah berselerak, dipercayai dimasuki individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal melalui semakan rakaman CCTV mendapati suspek memecah masuk pada jam 9.26 pagi semalam ketika tiada penghuni di rumah.

“Siasatan mendapati suspek memakai pakaian wanita termasuk tudung serta membawa beg tangan ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Taktik penyamaran itu dipercayai digunakan bagi mengelakkan perbuatannya disyaki penduduk lain serta mengaburi mata orang ramai di kawasan komersial berkenaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada kehilangan atau kerugian membabitkan barangan berharga dilaporkan dalam kejadian itu.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-614 8034 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk sekitar supaya memaklumkan kepada jiran atau balai polis berhampiran sekiranya meninggalkan rumah untuk tempoh tertentu sebagai langkah keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast