KUANTAN – Dua buah rumah kayu hangus dijilat api dalam kebakaran di perkampungan Bukit Ubi di Jalan Datuk Lim Hoe Lek, di sini kira-kira jam 11.37 malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian membabitkan sebuah kediaman berpenghuni dan satu lagi rumah kosong, masing-masing berukuran 20 x 40 kaki per segi.
Bagaimanapun beliau memaklumkan tiada siapa berada di dalam rumah yang dihuni ketika kebakaran berlaku.
“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa kira-kira 30 minit, katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulfadli berkata, kebakaran itu marak dengan cepat kerana rumah berstruktur kayu sepenuhnya dan faktor angin yang kuat.
Katanya, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah ketika dihubungi berkata, mangsa yang terlibat menyewa rumah pusaka terbabit adalah lelaki warga emas dan tinggal bersendirian.
“Mangsa yang berusia 63 tahun itu dibantu jiran tetangga dan menumpang di surau berdekatan buat sementara waktu,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















