Muhammad Danial.

GEORGE TOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpendapat isu kesilapan ejaan makanan di bazar Ramadan tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan tahap kepekaan masyarakat terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Muhammad Danial Alimin berkata, walaupun kesalahan ejaan mungkin dilihat sebagai perkara kecil, namun ia memberi gambaran lebih besar terhadap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya merupakan bahasa kebangsaan dan identiti negara yang perlu dipelihara dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam urusan perniagaan harian.

“Malah, perkara itu penting kerana bahasa yang digunakan hari ini akan membentuk kefahaman dan sikap generasi muda pada masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Antara kesalahan ejaan makanan yang dipamerkan peniaga di beberapa bazar Ramadan di Pulau Pinang.

Menurut beliau, sebagai sebuah pertubuhan belia, GPMS sentiasa menekankan kepentingan pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda dan masyarakat.

“Kes seperti ejaan martabak yang ditulis sebagai murtabak atau donat yang dieja sebagai donut menunjukkan masih wujud kekeliruan serta kurang kesedaran, khususnya dalam kalangan peniaga kecil.

“Walaupun faktor kebiasaan sebutan dan pengaruh bahasa asing tidak dapat dinafikan, usaha pembetulan tetap perlu dilakukan secara berhemah dan mendidik, selari dengan semangat memperkasa bahasa kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memainkan peranan lebih aktif dan menyeluruh dalam menangani isu berkenaan.

“PBT bukan sekadar berfungsi mengeluarkan lesen perniagaan, malah wajar mengambil kira aspek asas seperti ejaan pada papan tanda dan bahan jualan.

“Langkah seperti penyediaan garis panduan ringkas, hebahan awal atau nasihat semasa proses pelesenan boleh membantu peniaga memperbetulkan kesilapan tanpa menimbulkan tekanan.

“Peniaga juga perlu lebih cakna dan bertanggungjawab kerana penggunaan bahasa Melayu yang betul bukan sahaja memartabatkan bahasa kebangsaan, malah mencerminkan imej profesional dan kualiti sesuatu perniagaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Kesalahan ejaan makanan salah dipandang remeh di bazar Ramadan


MalaysiaGazette terdahulu melaporkan disebalik kemeriahan bazar Ramadan saban tahun masih wujud kecuaian dalam aspek penggunaan ejaan yang betul sehingga menimbulkan persoalan tentang tahap kepekaan peniaga terhadap bahasa kebangsaan.

Tinjauan di beberapa bazar Ramadan sekitar negeri ini mendapati masih ramai peniaga tidak mengambil berat soal penggunaan ejaan yang betul pada papan tanda dan sepanduk gerai masing-masing.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk perkataan ‘martabak’ dieja sebagai ‘murtabak’, ‘sate’ dieja ‘satay’, ‘donat’ ditulis ‘donut’, selain ‘nasi beriani’ dieja sebagai ‘briyani’ serta ‘nanas’ ditulis ‘nenas’.

Lebih menyedihkan, perkataan ‘Ramadan’ dieja sebagai ‘Ramadhan’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast