Keadaan terkini Masjid Darul Mukhlisin Tanjung Karang yang dikelilingi longgokan kayu balak susulan banjir besar melanda di kawasan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanjung Karang, Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2026.

ACEH TAMIANG – Bencana banjir dan tanah runtuh melanda wilayah Aceh hampir tiga bulan sudah berlalu, namun dukanya masih terasa dalam kalangan penduduk setempat terutamanya ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan.

Tenaga pengajar Pondok Pesantren Darul Mukhlisin Tanjung Karang, Saiful Bahri Zulkifli berkata, bagaimanapun keperitan yang dialami tidak menghalang pintu Masjid Darul Mukhlisin, Tanjung Karang, Karang Baru, di sini, terbuka luas menyambut para tetamu Allah.

Saiful, 32, berkata, kompleks dibina atas tanah seluas lima hektar itu  turut terkesan dek bencana yang tidak terduga itu apabila timbunan kayu balak yang dihanyutkan arus lumpur pada November tahun lalu ‘mendarat’ di situ.

Namun, katanya, masjid yang mampu menampung sehingga 3,000 jemaah tetap berdiri megah dan utuh, seolah-olah menjadi lambang keteguhan iman ketika dilanda ujian.

Tenaga pengajar tahfiz, Ustaz Saiful Bahri Zulkifli , 32 merupakan mangsa banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Darul Mukhlisin, Tanjung Karang, Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 Februari 2026

Walaupun struktur masjid tidak terjejas, suasana yang dahulunya meriah kini bertukar sayu apabila bilangan jemaah semakin berkurangan

“Kejadian itu sangat menyedihkan kerana ramai warga Aceh Tamiang terkesan dengan bencana banjir dan tanah runtuh yang mana mereka kehilangan rumah serta terpaksa berpuasa di pusat penempatan sementara tidak seperti Ramadan tahun lalu.

“Alhamdulillah masjid di sekitar Aceh Tamiang sudah semakin aktif tetapi tidak seperti sebelumnya kerana kini tidak ramai yang datang walaupun sudah dibuka untuk umum berbanding dahulu,” Jelas Saiful.

Masjid Darul Mukhlisin Tanjung Karang dikelilingi longgokan kayu balak besar susulan banjir besar yang melanda di kawasan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanjung Karang, Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2026.

Tambah anak jati Kota Lintang yang sudah 20 tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar di pondok pesantren ini, secara keseluruhan seramai 230 warganya seakan tidak percaya tatkala perlu melalui dugaan seberat ini.

“Walaupun terdapat kerosakan berlaku di pesantren namun dengan kekuasaan Allah, Masjid Darul Mukhlisin dan masyarakat di sini masih dilindungi serta merasa satu keajaiban berlaku kerana binaan kompleks diibaratkan seperti benteng yang mampu menahan kayu balak daripada memusnahkan lebih banyak rumah penduduk sekitar,” katanya.

Tatkala ditanya mengenai emosi pelajar-pelajar di sini, beliau memberitahu anak-anak terkesan kerana mereka tidak menduga akan berhadapan dengan kejadian tersebut.

“Mereka ketika itu tidak mengetahui khabar berita ahli keluarga dan dalam masa sama barangan peribadi milik mereka musnah akibat bencana,” ujarnya.

Pelajar tahfiz, Raihan Muhammad Izzat, 17 merupakan mangsa banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Darul Mukhlisin, Tanjung Karang, Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 Februari 2026

Sementara itu, salah seorang pelajar, Raihan Muhammad Izzat, 17 tahun, ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, bencana berlaku dia berada di pondok dan menyaksikan sendiri air naik sehingga ke paras tingkap di tingkat dua bangunan sebelum dipindahkan ke tempat selamat.

Katanya, selepas kejadian beliau berasa sedih tatkala melihat keadaan masjid dan kehidupan mereka di pondok jauh berbeza selain perlu berdepan keterbatasan aktiviti serta rakan-rakan juga ramai yang berhenti belajar kerana berpindah.

“Saya takut ketika itu bimbang masjid ini akan runtuh kerana dibadai kayu-kayu di hutan, namun Allah menjaganya dengan baik,” katanya.

Raihan berkongsi aktiviti yang dijalankan di pondok berkenaan sepanjang Ramadan yang tertumpu kepada pembacaaan al-Quran dan menunaikan solat tarawih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast