KOTA KINABALU – Agrobank melancarkan dua kempen deposit peringkat kebangsaan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sabah yang menyasarkan penyertaan masyarakat umum serta golongan kanak-kanak dan remaja baru-baru ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Bersama Timbalan Menteri Pertanian danKeterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Kedua-dua kempen bertujuan menggalakkan amalan menabung secara berdisiplin dalam kalangan pelanggan sedia ada dan baharu di samping memupuk tabiat simpanan yang konsisten sejak usia muda.

Ahmad Badli Shah berkata, kempen-kempen tersebut mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong agenda literasi kewangan negara.

“Kempen Generasi Muda menyokong objektif Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 (NS2.0) dengan menggalakkan amalan menabung secara berstruktur dan konsisten dari usia yang muda.

“Pada masa yang sama, kempen Heng Heng Lai memupuk disiplin simpanan dalam kalangan pelanggan dewasa. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan isi rumah yang lebih berdaya tahan selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.

Disamping itu, Foong Hin pula menekankan inisiatif seperti ini mampu memberi impak positif khususnya kepada masyarakat di Sabah dalam memperkukuh kestabilan kewangan keluarga.

“Galakan untuk menabung secara konsisten, terutamanya di kalangan generasi muda di Sabah, merupakan langkah penting ke arah memperkukuh daya tahan kewangan komuniti.

“Inisiatif sebegini memberi ruang kepada keluarga di Sabah untuk lebih aktif menyertai sistem kewangan formal dan merancang masa depan dengan lebih yakin,” katanya.

Pelancaran kempen-kempen tersebut turut dihadiri oleh pengarah-pengarah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast