WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat memutuskan bahawa Donald Trump telah melampaui bidang kuasanya dalam mengenakan pelbagai tarif yang mengganggu perdagangan global, sekali gus menyekat dasar yang digunakan presiden itu untuk melaksanakan agenda ekonominya.
Mahkamah tertinggi yang dikuasai hakim konservatif itu membuat undian enam lawan tiga menyatakan, Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) “tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif”.
Walaupun Trump sekian lama menggunakan tarif sebagai alat tekanan dan rundingan, beliau telah menggunakan kuasa ekonomi kecemasan secara luar biasa selepas kembali memegang jawatan presiden tahun lalu dengan mengenakan duti baharu ke atas hampir semua rakan dagang Amerika Syarikat.
Langkah itu termasuk tarif “timbal balik” – amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh Washington, selain set duti berasingan yang menyasarkan rakan dagang utama seperti Mexico, Kanada dan China berhubung aliran dadah haram dan isu imigresen.
Mahkamah menyatakan “sekiranya Kongres berhasrat memberikan kuasa khusus dan luar biasa untuk mengenakan tarif” melalui IEEPA, “ia pasti akan dinyatakan secara jelas, sebagaimana yang telah dilakukan secara konsisten dalam undang-undang tarif lain”.
Keputusan itu tidak menjejaskan duti khusus sektor yang dikenakan Trump secara berasingan ke atas import keluli, aluminium dan pelbagai barangan lain.
Siasatan rasmi yang berpotensi membawa kepada lebih banyak tarif sektoral juga masih berjalan.
Keputusan Mahkamah Agung itu mengesahkan dapatan mahkamah rendah sebelum ini bahawa tarif yang dikenakan Trump di bawah IEEPA adalah tidak sah.
Sebuah mahkamah perdagangan lebih rendah pada Mei lalu memutuskan Trump melangkaui kuasanya dengan mengenakan levi menyeluruh dan menghalang kebanyakan tarif itu daripada berkuat kuasa.
Namun keputusan tersebut ditangguhkan sementara kerajaan mengemukakan rayuan. – Agensi
















