Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Nordin bercakap ketika ditemubual pada Program Shopping Raya 2026 Bersama Anak-Anak Asnaf dan Pelajar Tahfiz Zon Tengah di Mydin Mall, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 21 FEBRUARI 2026

SUBANG JAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) meminta kerajaan mempertimbangkan semula penetapan harga lantai bagi pasaran kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran negara ini.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, penetapan harga sebanyak RM250,000 dilihat boleh mengundang risiko  kereta EV tidak dapat diimport masuk ke dalam pasaran tempatan.

“Kalau RM250,000 saya lihat banyak kereta yang tidak dapat dibawa masuk dan dijual di pasaran Malaysia,” katanya ketika ditemui di Program Shopping Raya 2026 Anak-Anak Asnaf dan Pelajar Tahfzi Zon Tengah Bersama Yayasan Pekema di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada EV yang diimport ke dalam negara kepada segmen mewah bagi melindungi ekosistem automotif tempatan serta mengelakkan berlakunya lambakan kenderaan murah di pasaran.

Katanya, pengeluar luar yang berhasrat menembusi pasaran Malaysia perlu menawarkan EV berkelas tinggi, manakala segmen harga rendah dan sederhana akan terus diperkukuh oleh pemain industri tempatan.

Mengulas lanjut Mohamed Nazari bagaimanapun mengakui langkah tersebut boleh menggalakkan ekosistem automotif tempatan.

“Yang mana mahu jual di bawah RM250,000 kalau buat pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia tidak mendatangkan masalah. Jadi itu adalah untuk galakkan ekosistem tempatan untuk pemasangan tempatan EV dilakukan di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast