Fauzi Faizal

JOHOR BAHRU – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor hanya mahukan populariti dengan memainkan isu gangguan bekalan air di Simpang Renggam berpunca daripada projek pusat data.

Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Fauzi Faizal berkata, Pemuda PH Johor tidak mengemukakan sebarang fakta berhubung tuduhan tersebut.

“Bagaimanapun kita berkeyakinan bahawa rakyat Johor tidak akan termakan dengan dengan fitnah seperti itu.

“Pesan kami selaku orang muda Johor kepada kamu wahai Pemuda PH Johor ‘Sang Penunggang Politik’ jangan hendak bermain politik dengan isu sampah sebegini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut memberi peringatan kepada Pemuda PH Johor supaya jangan merosakan kemakmuran Johor di bawah Pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau itu menegaskan sebarang usaha dan inisiatif yang dilakukan Onn Hafiz bagi membangunkan negeri itu tidak akan menjejaskan kebajikan rakyat.

“Saya yakin rakyat Johor tidak akan termakan dengan fitnah dan tuduhan tidak berfakta seperti ini. Baca dan hadamkan apa yang Menteri Besar sudah jawab berkenaan tuduhan sampah kamu,” katanya.

Semalam, media melaporkan PH Johor memandang serius gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu susulan paras Sungai Benut dan Empangan Machap dilaporkan berada pada tahap kritikal.

Gabungan itu dipetik merujuk kepada laporan media yang menyatakan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kini beroperasi pada kadar rendah berikutan kekurangan sumber air mentah.

Ia sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan sumber air negeri dalam menghadapi kepesatan pembangunan industri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast