Penduduk Kampung Suka Jadi berbuka puasa pada hari pertama Ramadan dalam keadaan serba kekurangan di tempat penempatan sementara selepas kejadian bencana banjir dan tanah runtuh pada November 2025 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2026

ACEH TAMIANG Ramadan tahun ini datang bukan bersama ketertujaan membeli juadah berbuka atau meriah bunyi azan di masjid kampung sebaliknya diiringi sepi, debu lumpur, dan tapak rumah yang tinggal sebagai kenangan.

Lebih 400 keluarga di Desa Suka Jadi, Aceh Tamiang masih memikul trauma selepas bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda pada November tahun lalu, memusnahkan penempatan mereka hingga menjadi rata.

Apa yang pernah menjadi ruang keluarga berkumpul, tempat anak-anak belajar, dan dapur yang menghidangkan sahur kini hanya tanah kosong yang memegang sisa cerita.

Bencana itu bukan sekadar “air naik” seperti kebiasaan penduduk di tebing Sungai Aceh Tamiang. Kali ini, arus datang seperti tidak memberi ruang untuk bernafas membawa lumpur tebal, kayu balak, dan serpihan yang menghempas apa sahaja di laluan.

Paras air dilaporkan naik hingga setinggi tiang lampu jalan, menenggelamkan bumbung rumah dan memadamkan sekelip mata kehidupan yang mereka bina bertahun-tahun.

Murshid Mohamad Baharudin. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2026

Penduduk, Murshid Mohamad Baharudin, 47, mengakui banjir kecil sudah “sebati” dengan masyarakat setempat, malah hampir setiap rumah mempunyai sampan sebagai persediaan. Namun tragedi November itu, katanya, umpama mimpi ngeri yang berulang-ulang dalam ingatan.

“Banjir biasa kami sudah lali… tapi yang ini lain. Bila air datang bersama lumpur dan balak, semuanya musnah. Rumah saya… tinggal tapak saja,” katanya perlahan, seolah-olah memilih kata agar tidak menumpahkan luka.

Murshid yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan berkata, rumah tempat beliau berlindung bersama isteri dan empat anak musnah dibadai kayu balak. Ramadan yang biasanya menyatukan kampung di rumah dan masjid, kini perlu dilalui dalam keadaan serba sementara.

Penduduk Kampung Suka Jadi berbuka puasa pada hari pertama Ramadan dalam keadaan serba kekurangan di  penempatan sementara selepas kejadian bencana banjir dan tanah runtuh pada November 2025 di Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2026

Beliau bersyukur apabila bantuan mula tiba termasuk sumbangan untuk menyambut bulan puasa walaupun jauh daripada cukup untuk memulihkan semuanya.

“Bagi pemulihan keseluruhan memang tak mencukupi. Tapi saya perlu bersyukur. Ramadan mengajar kami reda… walaupun tidak semeriah dulu,” ujarnya.

Lebih memilukan, masjid kampung turut musnah dibawa arus deras. Ruang yang selama ini menjadi tempat tarawih, tadarus dan bertemu jiran tetangga, kini tinggal sejarah. Namun ibadah tetap diteruskan di masjid sementara yang dibina di tapak pemindahan, dengan sejadah yang dibentang di atas lantai yang masih berbau lembap.

“Tarawih tetap berjalan. Masjid asal dah tiada… tapi kami tak mahu Ramadan hilang begitu saja,” kata Murshid, generasi ketiga keluarga yang menetap di desa itu.

Bagi Murshid, harapan paling dekat ialah bantuan berterusan untuk meringankan beban mangsa, dan perlindungan Tuhan agar mereka diberi kekuatan meniti hari mendatang.

Murni Kusni. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2026

Seorang lagi mangsa, Murni Kusni, 52, pula mengakui kedatangan Ramadan kali ini mengundang rasa sedih yang sukar disorok. Dia bukan sahaja kehilangan rumah, malah perlu mengharungi pasca bencana dalam keadaan menguruskan suaminya yang sakit.

“Bila Ramadan datang… saya jadi tertekan. Rumah saya tinggal tapak saja,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, sebelum kejadian beliau mencari rezeki sebagai peniaga kecil-kecilan dan tukang cuci. Namun selepas bencana, sumber pendapatan terputus dan rutin harian kini dipenuhi kerja mengangkut air dan mengurus keperluan keluarga dalam serba kekurangan.

“Saya angkut air setiap hari untuk suami dan anak-anak. Ada masa saya terlalu lelah. Tapi bila orang luar datang beri bantuan, kami rasa… kami tidak sendirian,” katanya.

Murni Kusni, 52 menjaga suaminya yang menghidap sakit jantung bengkak ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2026

Murni menambah, mereka sebenarnya sudah berpindah sebelum banjir besar melanda, menyangka ia hanya ancaman biasa seperti sebelum ini. Namun apabila kembali, yang menunggu bukan lagi rumah tetapi kekosongan yang membuatkan hati runtuh.

“Saya tak sangka bencana sebesar itu. Bila balik… rumah dah tak ada. Saya sedih sangat. Saya cuma mampu berdoa,” katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemu bual wartawan MalaysiaGazette.

Tahun ini, tarawih dilakukan bersama anak-anak di pondok sementara yang disediakan untuk mereka sekeluarga, memandangkan suaminya masih terlantar sakit. Dalam ruang yang sempit itu, doa dan kesabaran menjadi satu-satunya “dinding” yang menguatkan mereka daripada rebah.

Penduduk Kampung Suka Jadi menunaikan solat tarawih dalam keadaan serba kekurangan di tempat penempatan sementara selepas kejadian bencana banjir dan tanah runtuh pada November 2025 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Aceh Tamiang, Indonesia. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2026

Di Desa Suka Jadi, Ramadan bukan lagi tentang persiapan, tetapi tentang bertahan. Bukan lagi tentang rumah yang dihias, tetapi tentang hati yang cuba dipulihkan. Dan di atas tapak-tapak rumah yang kosong, penduduk hanya berharap satu perkara agar kehidupan yang diragut arus suatu ketika dahulu, dapat dibina semula walau setapak demi setapak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast