Gambar fail yang diambil pada 7 November 2024 ini menunjukkan pemandangan umum bandar Hargeisa, ibu negara dan bandar terbesar Republik Somaliland. foto AFP

HARGEISA – Somaliland bersedia memberi Amerika Syarikat (AS) akses kepada sumber mineral dan pangkalan tenteranya, kata seorang menteri, ketika wilayah yang memisahkan diri daripada Somalia itu berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Israel menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengiktiraf kemerdekaan Somaliland pada Disember lalu – sesuatu yang telah diusahakan wilayah itu sejak mengisytiharkan autonominya daripada Somalia pada 1991.

Kerajaan di Mogadishu masih menganggap Somaliland sebagai sebahagian daripada Somalia walaupun wilayah itu telah mentadbir urus sendiri sejak 1991, dengan pasport, mata wang, angkatan tentera dan pasukan polisnya sendiri.

“Kami bersedia memberikan akses eksklusif (kepada sumber mineral kami) kepada Amerika Syarikat. Kami juga terbuka untuk menawarkan pangkalan tentera kepada Amerika Syarikat,” kata Menteri Presiden, Khadar Hussein Abdi, kepada AFP dalam satu wawancara.

“Kami percaya akan mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat.”

Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdullahi, dalam beberapa minggu kebelakangan turut mencadangkan pemberian akses istimewa kepada Israel terhadap sumber mineral wilayah itu.

Khadar Hussein Abdi berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan membenarkan kehadiran ketenteraan Israel di Somaliland.

Somaliland terletak di seberang Teluk Aden dari Yemen, di mana pemberontak Houthi kerap menyerang aset Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Pegawai Somaliland berkata, sumber asli wilayah itu termasuk litium, koltan dan bahan lain yang mendapat permintaan tinggi, namun kajian bebas mengenai perkara tersebut masih belum mencukupi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast