ROM – Seorang kanak-kanak dua tahun di Itali yang menerima jantung bermasalah semasa prosedur pemindahan organ itu meninggal dunia pada hari Sabtu.

Kematiannya telah mencetuskan kemarahan di Itali disebabkan kesilapan yang ketara semasa proses pembedahan berkenaan.

Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu menerima pemindahan pada Disember lalu, dipercayai menggunakan jantung penderma yang rosak semasa proses penghantaran apabila ia bersentuhan secara langsung dengan ais kering.

Pendakwa raya kini menyiasat enam kakitangan perubatan.

“Ia sudah berakhir. Domenico telah pergi,” kata ibu kanak-kanak itu, Patrizia Mercolino, kepada media Itali.

Patrizia berkata, anaknya telah bergantung kepada sokongan hayat selama beberapa minggu di sebuah hospital di Naples, dalam kes yang menjadi tajuk utama media di seluruh Itali.

Jantung penderma itu dilaporkan dihantar dari Bolzano di utara Itali ke Naples sejauh kira-kira 800 kilometer menggunakan bekas yang tidak sesuai dan tanpa termometer yang sepatutnya dapat mengesan suhu terlalu rendah.

Menteri Kesihatan Itali, Orazio Schillaci dalam satu kenyataan yang dipetik media tempatan berkata, kes Domenico telah “menyentuh perasaan seluruh Itali”.

Schillaci sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pendermaan organ boleh merosot akibat kes tersebut, dan menggesa agar “kejelasan” diberikan bagi memastikan kepercayaan berterusan terhadap perkhidmatan perubatan negara itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast