Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Kedudukan kerusi Ketua Pembangkang yang sebelum ini digalas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata,  Pas mempunyai hak untuk mengambilalih jawatan tersebut berdasarkan kepada jumlah kerusi terbesar dalam Parlimen.

“Ya, antara perkara itu ada dibangkitkan dan telah diputuskan supaya diberi sedikit masa untuk difikirkan perkara itu.

“Secara rasminya pihak parti-parti anggota ini bersetuju kerusi Ketua Pembangkang dipegang oleh Pas sebagai parti terbesar di dalam Parlimen.

“Tapi belum ada keputusan lagi kerana Pas memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap pada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 FEBRUARI 2026.

Terdahulu Mesyuarat Luar Biasa MT PN sebulat suara melantik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi gabungan baharu berkuat kuasa serta-merta.

Mesyuarat MT PN menerima surat peletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu yang berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Turut hadir mesyuarat MT PN ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS); Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden MIPP, P. Punithan.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga berkata, kedudukan kerusi Hamzah dalam Dewan Rakyat akan ditentukan Yang Dipertua Speaker, Tan Sri Johari Abdul selepas dipecat daripada Bersatu baru-baru ini.

“Kedudukan dalam Parlimen itu tidak semestinya satu yang wajib, sebagai contohnya sebelum ini pun ada beberapa ahli Parlimen yang telah diambil tindakan oleh parti.

“Mereka masih berada di tempat yang sama, jadi kita masih lagi, saya akan dapatkan mandat atau arahan daripada pengerusi yang baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast