KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mempercepatkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemansuhan AUKU yang ditubuhkan sebelum ini.
Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian menegaskan, langkah itu perlu disertakan garis masa jelas bagi memastikan reformasi pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli bahawa isu pemansuhan atau pengekalan AUKU perlu dirancang secara teliti serta disusuli reformasi yang bersifat substantif.
“DAPSY menghargai kesediaan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk merangka hala tuju reformasi pendidikan tinggi dengan pendekatan lebih terancang dan rapi.
“Bagaimanapun, dalam isu AUKU, Kerajaan Perpaduan khususnya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menunjukkan pendirian lebih tegas dan jelas kerana pemansuhan akta berkenaan bukan sekadar cadangan polisi sebaliknya merupakan konsensus dan komitmen yang pernah dizahirkan PH sebelum pilihan raya.
“Isu AUKU bukan isu baharu. YB Adam Adli sendiri pernah muncul sebagai aktivis mahasiswa yang mengangkat tuntutan pemansuhan AUKU.
“Ramai pemimpin PH juga pernah berhadapan dengan sekatan dan tekanan akibat AUKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ling Xian berkata, DAPSY menyeru pimpinan PH khususnya generasi pemimpin muda agar terus memperkukuh iltizam untuk memansuhkan AUKU melalui tindakan nyata serta penetapan garis masa yang meyakinkan.
Katanya lagi, usaha reformasi tersebut mempunyai asas kukuh sejak 2018 apabila kerajaan PH ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Pemansuhan AUKU bagi menjalankan penelitian secara sistematik.
Tambahnya, jawatankuasa berkenaan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kakitangan kerajaan, pengurusan universiti, warga akademik dan wakil mahasiswa serta telah menghasilkan laporan dan cadangan kerangka sebagai asas pemansuhan AUKU serta pembentukan undang-undang baharu.
Beliau menjelaskan, konsensus, kajian dan perbincangan telah lama berlangsung termasuk cadangan kerangka akta baharu yang boleh dijadikan rujukan.
“Pemansuhan AUKU tidak bermaksud membiarkan institusi pendidikan tinggi beroperasi tanpa undang-undang dan kawal selia, sebaliknya menuntut penggantian melalui Akta Pendidikan Tinggi baharu yang lebih progresif bagi menggantikan AUKU, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan akta-akta berkaitan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, DAPSY bersetuju reformasi pendidikan tinggi perlu merangkumi model tadbir urus universiti, struktur pembiayaan dan autonomi akademik namun semua perkara itu telah dibahaskan dalam wacana serta cadangan terdahulu termasuk melalui jawatankuasa yang pernah ditubuhkan.
Tegas beliau, reformasi pendidikan tinggi dan pemansuhan AUKU tidak wajar dilihat sebagai pilihan yang saling menafikan, sebaliknya perlu digerakkan secara serentak dengan pemansuhan AUKU dijadikan titik mula reformasi.
Dalam pada itu, DAPSY turut menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemansuhan AUKU, menyambung kerja berdasarkan laporan serta cadangan sedia ada dan mempercepat proses penggubalan undang-undang baharu.
“Kerajaan Perpaduan mesti bertekad menunaikan janji reformasi bagi memulihkan keyakinan mahasiswa serta masyarakat sivil dan memastikan pendidikan tinggi Malaysia bergerak ke arah yang lebih bebas, terbuka dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette
















