PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyeru politik antarabangsa diamalkan lebih berhemah dan terdapat keperluan mendesak untuk mengembalikan “kewarasan” dalam kalangan pemimpin dunia.
Menurut beliau, dunia ketika ini memerlukan kepimpinan yang lebih rasional dan bertanggungjawab dalam menangani cabaran geopolitik serta ketidaktentuan global.
“Berikanlah kami kekuatan untuk terus beriltizam bekerja dengan lebih keras dan untuk memelihara kewarasan bukan sahaja di sini, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Kebimbangan utama saya mengenai politik antarabangsa, yang tidak mahu saya sentuh sekarang, ialah perlunya mengembalikan kewarasan dalam kalangan pemimpin politik.
“Semoga Allah mengurniakan (kewarasan itu) bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga di beberapa rantau lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Kementerian Luar bersama Perdana Menteri di Wisma Putra, petang tadi.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni; serta duta-duta negara asing.
Dalam ucapan sama, Anwar menegaskan, kekuatan Malaysia sebagai negara majmuk tidak terletak semata-mata pada pencapaian ekonomi, tetapi pada budaya saling menghormati yang menjadi asas perpaduan nasional.
Katanya, kelangsungan sesebuah negara berbilang kaum dan agama bergantung kepada kemampuan rakyat untuk menerima dan menghormati antara satu sama lain sebagai satu keluarga besar.
“Dalam kerangka Malaysia, elemen paling penting ialah rasa hormat. Sesebuah negara boleh mencapai pertumbuhan ekonomi, transformasi digital dan pembangunan material, tetapi kelangsungan sebuah negara majmuk seperti Malaysia bergantung kepada kemampuan kita untuk menerima dan menghormati antara satu sama lain sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Menurut beliau, suasana harmoni dalam kalangan rakyat jauh berbeza daripada gambaran negatif yang sering dimainkan oleh segelintir pihak tertentu.
“Malangnya, kadangkala kita hanya mendengar suara segelintir ahli politik yang memilih untuk mencetuskan isu dan perpecahan.
“Namun hakikatnya, di jalanan, di bandar dan desa, sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, wujud toleransi dan rasa hormat yang tulen. Inilah yang mesti kita pertahankan,” katanya lagi.
Anwar turut menegaskan, semangat saling menghormati itu terserlah dalam sambutan pelbagai perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, Pongal, Krismas dan Thaipusam.
“Inilah kekuatan kita di mana memelihara akidah dan nilai moral masing-masing, tetapi dalam masa yang sama menghormati dan meraikan kepelbagaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Luar atas dedikasi memperkukuh hubungan antarabangsa sepanjang tahun lalu sehingga berjaya mengangkat martabat negara di pentas global.
“Tahun lalu menyaksikan dedikasi luar biasa, satu kerja yang amat membanggakan telah dilaksanakan. Ia adalah satu kejayaan besar hasil kerja berpasukan dan teras kepada pasukan ini tentunya Wisma Putra,” katanya lagi.
Anwar turut melancarkan Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2026–2030 berteraskan visi Malaysia Madani serta dibina berasaskan hala tuju dasar luar negara.
Pelan Strategik berkenaan telah dijajarkan dengan kerangka Ekonomi Madani Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memastikan kesepaduan pelaksanaan dasar luar Malaysia dengan agenda pembangunan negara. – MalaysiaGazette
















