KUALA LUMPUR – Seramai 9,554 pesakit talasemia direkodkan di Malaysia dari 102 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua hospital universiti yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit talasemia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka tersebut berdasarkan data rasmi Annual Report of the Malaysia Thalassemia Registry 2023 yang diterbitkan pada 2025.
Beliau berkata, anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada transfusi, bermula dari usia kanak-kanak sehingga 40 tahun hampir RM3 juta bagi setiap pesakit.
“Berdasarkan kajian Economic Burden in the Management of Transfusion-Dependent Thalassaemia Patients in Malaysia from a Societal Perspective (2021), ia merangkumi kos penjagaan kesihatan sehingga 92.5 peratus.
“Manakala kos perbelanjaan penjagaan kesihatan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga pula sebanyak 7.5 peratus.
“Terapi iron chelation merupakan penyumbang utama kepada kos rawatan, iaitu sebanyak 56.9 peratus dari jumlah keseluruhan kos, diikuti oleh kos transfusi darah sebanyak 13.1 peratus,” katanya pada sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah terkini pesakit talasemia di Malaysia dan kos rawatan seorang pesakit dari usia kanak-kanak hingga usia 40 tahun.
Dzulkefly juga berkata, terapi gen merupakan kaedah rawatan inovatif di mana sel stem pesakit sendiri diambil dan diubah suai secara genetik di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit.
“Di peringkat antarabangsa, dua kaedah utama yang sedang diguna pakai adalah Penambahan Gen menggunakan lentivirus serta Pengeditan Gen yang memanfaatkan teknologi mutakhir CRISPR-Cas9.
“Buat masa ini, produk seperti Zynteglo (Penambahan Gen) dan Casgevy (Pengeditan Gen) telah mendapat kelulusan badan regulatori antarabangsa seperti Food and Drug Administration (FDA) dan European Medicines Agency (EMA).
“Data menunjukkan lebih 90 peratus pesakit yang menerima rawatan ini tidak lagi memerlukan transfusi darah seumur hidup.
“Namun, kos bagi satu rawatan adalah amat tinggi, di mana di pasaran global ia mencecah kira-kira RM10 juta hingga RM13 juta bagi setiap pesakit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















