KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu merupakan satu titik penting dalam pengukuhan kepimpinan PN di peringkat nasional.
Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan menuju ke pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) secara amnya.
Beliau yang juga Pengerusi PN Melaka menambah, Ahmad Samsuri juga terbukti sebagai pemimpin berintegriti, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta memiliki rekod kepimpinan yang cemerlang.
Tambahnya, kewibawaan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dalam mentadbir serta kejayaan mengemudi kemenangan cemerlang di Terengganu adalah bukti keupayaan sebenar kepimpinan beliau.
“Saya yakin pengalaman tersebut akan menjadi kekuatan serta inspirasi penting dalam memperkukuh gerak kerja dan strategi PN, termasuk dalam menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tambah menambah, PN Melaka berdiri teguh dan memberi komitmen penuh untuk bersama-sama memperkukuhkan jentera parti, memperluas sokongan rakyat serta memastikan agenda membela kebajikan rakyat, memperkasa ekonomi dan menegakkan tadbir urus yang bersih dan berintegriti terus menjadi keutamaan.
Dalam masa sama, ujarnya, Wanita PN juga mengharapkan Ahmad Samsuri akan terus sama memperjuangkan agenda memartabat dan perkasakan wanita di dalam kamus perjuangan PN.
“Kami yakin di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri, PN akan tampil lebih tersusun, bersatu dan diyakini rakyat sebagai alternatif terbaik untuk memimpin negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















