GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menyambut baik kejayaan operasi bersepadu Op Hazard yang menumpaskan sebuah kilang haram memproses sisa elektronik dan plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa dengan rampasan RM3.37 juta di Seberang Perai Selatan dekat sini pada 20 Februari lalu.
Bagaimanapun, pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, kejayaan itu mengesahkan kebimbangan pihaknya sebelum ini mendakwa sebilangan kilang kitar semula mungkin menyalahgunakan lesen SW110 mereka.
“Kami amat menyambut baik tindakan pihak berkuasa melalui Op Hazard yang berjaya membongkar premis haram serta merampas jumlah besar sisa elektronik dan fasiliti pemprosesan plastik tanpa kelulusan.
“Rampasan bernilai jutaan ringgit ini menunjukkan bahawa pemantauan dan semakan menyeluruh terhadap semua lesen kilang di seluruh negara adalah amat penting, agar tiada premis mengambil kesempatan atau melanggar larang import e waste yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam melaporkan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Selatan menahan seorang lelaki berusia 30 an pada Februari lalu dalam serbuan di sebuah kilang kitar semula.
Dalam serbuan itu pelbagai fasiliti pemprosesan plastik serta sejumlah besar sisa elektronik termasuk jumbo bag dan tong drum berisi cecair minyak tercemar dirampas dengan nilai anggaran RM3.37 juta.
ARTIKEL BERKAITAN:
MalaysiaGazette pada 19 Februari lalu melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyemak semua lesen kilang kitar semula di seluruh negara susulan penguatkuasaan larangan mutlak import sisa elektronik (e-waste) berkuatkuasa 4 Februari lalu.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, gesaan itu dibuat susulan wujud segelintir kilang yang mempunyai lesen kitar semula tetapi dipercayai terlibat dengan aktiviti haram termasuk pengimportan e-waste di beberapa lokasi seperti Ipoh, Pulau Pinang, Sungai Petani dan Kulim.
Menurutnya, semakan menyeluruh penting bagi memastikan lesen-lesen berkaitan pengurusan sisa termasuk lesen SW110 digunakan mengikut syarat ditetapkan dan tidak dimanipulasi untuk menjalankan operasi yang bercanggah dengan keputusan kerajaan.
Media pada 4 Februari lalu melaporkan , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan menguatkuasakan larangan mutlak import e-waste sebagai langkah memperkukuh kawal selia dan mengekang kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara. – MalaysiaGazette















