Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bacaan kedua bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan itu pula akan dibentangkan ke Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

“Tuan Yang Dipertua, saya mohon mengemukakan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (2) 2026.

“Bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini, Insya-Allah minggu hadapan,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut dokumen RUU tersebut, pindaan itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan seorang Pendakwa Raya selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Ia juga untuk mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya dan untuk meminda Perkara yang berkaitan selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Selain itu, Fasal 2 pula bertujuan untuk meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan kuasa pengampunan dan Peguam Negara ialah anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri.

Peguam Negara juga mengemukakan pendapat bertulis kepada Lembaga Pengampunan dan peranan Peguam Negara dalam Perkara 42 akan diambil alih oleh Pendakwa Raya.

Manakala Fasal 3 bertujuan untuk meminda Perkara 132 bertujuan untuk memperuntukkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan.

Selain itu, Fasal 4 pula bertujuan untuk meminda Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan berbangkit daripada fungsi tambahan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan susulan pengasingan kuasa tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast