KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin memuji ketenangan dan sikap berlapang dada yang ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu yang kini digalas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahli Parlimen Putrajaya yang kini memangku tugas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu memberi ruang serta mendukung Ahmad Samsuri tanpa drama.
Malah mesyuarat bagi memilih Pengerusi PN semalam juga berlangsung dengan penuh harmoni sehingga membolehkan keputusan dibuat dengan penuh tertib.
“Beliau sentiasa menyatakan komitmen untuk terus menabur bakti kepada PN termasuk dalam memperkukuh struktur dan memperkasa Majlis Presiden.
“Bak kata orang tua-tua, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Radzi berkata, suka atau tidak, Muhyiddin terlibat dalam mengasas, memberi nama, memilih bendera serta menyusun gerak kerja bersama rakan-rakan komponen untuk membina sebuah gabungan baharu yang dinamakan PN pada 2020.
Katanya, bertunjangkan kerjasama utuh dengan sahabat parti komponen, dalam masa yang singkat, PN menjadi jenama gabungan politik yang kukuh dan disegani dengan mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya.
“Beliau kemudiannya umum letak jawatan pada 30 Disember 2025.
“Bagi memenuhi kehendak Perlembagaan PN, Mesyuarat Khas PN diadakan semalam untuk meluluskan peletakan jawatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















