Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Rapid KL akan memanjangkan waktu perkhidmatan rel pada waktu puncak bagi menampung corak penggunaan pengguna sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, waktu puncak pagi akan dipanjangkan bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa.

“Manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari 4 petang sehingga 8 malam iaitu empat jam berbanding 5 petang sehingga 7.30 malam pada bulan-bulan lain.

“Langkah ini bagi memastikan kelancaran rel perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi.

“Ia bertujuan mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah sempena Ramadan yang melihat perubahan pola pergerakan.

Selain itu, Anthony juga berkata, Rapid KL mempunyai kesiapsigaan sepanjang masa, bukan sahaja pada Ramadan bahkan pada bulan-bulan lain dengan mengamalkan pencegahan dan pemulihan.

“Ia bagi memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala kepada sistem dan tren kita berjalan sepanjang masa untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya gangguan teknikal,” katanya.

Beliau juga mengakui gangguan teknikal sukar untuk diramal dan dibendung kerana isu teknikal boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Apa sahaja gangguan perlu diminimumkan untuk memastikan gangguan kepada pengguna dapat dikurangkan dan Prasarana telah pun mengambil pelbagai langkah untuk memastikan gangguan ini dapat diminimumkan,” katanya.

Jelasnya, Rapid KL juga meletakkan kakitangan teknikal di dalam tren sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gangguan supaya langkah mitigasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

“Pengurusan di pihak stesen juga telah pun diberikan latihan apabila berlakunya gangguan kawalan terhadap pengurusan penumpang dapat dilakukan dengan baik supaya dapat mengurangkan kesesakan di stesen-stesen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast